Pearly Tan-M. Thinaah muncul juara Kejohanan Badminton Terbuka Thailand 2025 selepas membenam cabaran wakil Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo pada aksi final di Nimibutr Stadium, Bangkok sebentar tadi.

Kejayaan itu merupakan kejuaraan pertama dikecapi Pearly dan Thinaah pada 2025 dimana sebelum ini mereka bergelar naib juara Indonesia Masters, penghujung Januari lalu.

Berdepan lawan yang mula bergandingan bersama sejak Februari lalu, Pearly-Thinaah tidak diberikan laluan mudah untuk mengecapi kejuaraan tersebut.

Pearly-Thinaah
Kredit Foto: Badminton Association of Thailand

Ia jelas dibuktikan pada permulaan set pertama apabila jurang tipis dipegang pasangan negara itu dengan mendahului 11-10 pada rehat ‘interval’.

Kata-kata Rosman Razak pada waktu rehat dilihat menjadi tonik berguna buat pasangan ranking keempat dunia itu untuk tampil lebih meyakinkan pada baki aksi set pertama sekali gus memenangi set pertama dengan mata 21-16.

Walaupun Na Eun-Yeon Woo cuba untuk memberikan saingan sengit pada set kedua, tetapi Pearly-Thinaah menyerap tekanan dengan baik untuk memastikan kejayaan menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-17.

Wang Tunai Dimenangi Pearly-Thinaah

Dengan kejayaan manis yang dilakarkan, Pearly Tan-M. Thinaah membawa pulang wang tunai bernilai $37,525 (RM161,191.31) dan mata ranking sebanyak 9,200.

Pearly-Thinaah
Kredit Foto: Badminton Asia

Selepas ini giliran Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan beraksi sebentar lagi menentang wakil Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer.