Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ S. Sivasundaram yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM memaklumkan bahawa badan induk bola sepak negara itu dan Malaysian Football League (MFL) kini dalam fasa akhir persiapan untuk pelaksanaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan Liga Super Malaysia musim 2024/25 yang akan bermula 10 Mei ini.
Seiring dengan kemajuan teknologi, penggunaan VAR dalam saingan Liga Super dilihat dapat membantu para pengadil untuk membuat keputusan lebih tepat dalam satu-satu perlawanan.
Baca Juga:
- MFL: VAR Akan Digunakan Dalam Semua Aksi Liga Super
- Video: Detik-Detik Penggunaan VAR Di Stadium Sultan Ibrahim
- Empat Set VAR Sudah Sampai Di Malaysia
“Atas inisiatif Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, sejarah bakal tercipta apabila FAM dan MFL mengorak langkah memperkenalkan VAR dalam saingan Liga Malaysia bermula musim 2024/25 ini.
“Pelbagai fasa latihan VAR telah dibuat untuk membiasakan pengadil-pengadil dengan kemahiran VAR. Objektif utama VAR adalah untuk meminimumkan kesilapan pengadil dan seterusnya memajukan standard bola sepak negara,” jelas beliau.
Dato’ Sivasundaram menambah, seramai 22 Pengadil telah ditauliahkan sebagai pengadil VAR, 20 Penolong Pengadil ditauliah sebagai AVAR (Assistant Video Assistant Referee), sembilan Pengadil ditauliah sebagai Replay Operator (RO) dan lima individu dari Astro ditauliah sebagai Replay Operator (RO).
“Tambahan seramai 17 Penolong Pengadil dipanggil untuk menyertai Seminar VAR 2024 yang mana ia membolehkan mereka dilantik sebagai Penolong Pengadil 1 & 2 bagi perlawanan yang menggunakan VAR.
“FAM juga akan membuat Latihan VAR fasa ke-2 untuk menambah pengadil-pengadil VAR,” katanya yang berharap agar pelaksanaan VAR ini dapat meningkatkan lagi prestasi pengadil-pengadil di Liga Malaysia.