Seorang pelancong dari India yang tular selepas dirakam meninggalkan sebuah teksi di Vietnam tanpa membuat bayaran sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mengubah kenyataannya mengenai insiden tersebut.

Video papan pemuka (dashcam) yang dimuat naik di TikTok menunjukkan lelaki itu tiba di destinasinya sebelum berulang kali berkata, “Saya tiada duit”, mengucapkan terima kasih kepada pemandu dan terus meninggalkan teksi tanpa membuat bayaran.

Apa yang menarik perhatian ramai ialah reaksi tenang pemandu teksi tersebut. Dia tidak memarahi atau mengejar penumpangnya, sebaliknya hanya memberikan senyuman sebelum menamatkan perjalanan itu.

Rakaman tersebut kemudian menjadi tular di Facebook dan TikTok, dengan ramai netizen memuji sikap profesional pemandu berkenaan sambil mengkritik tindakan pelancong itu.

Beberapa pengguna media sosial yang mendakwa mereka berasal dari India turut meluahkan rasa malu terhadap insiden itu.

Mereka menegaskan tindakan seorang individu tidak sepatutnya mewakili seluruh rakyat India, malah ada yang menawarkan diri untuk membayar tambang teksi tersebut sekiranya berjaya menghubungi pemandu berkenaan.

Pemandu teksi itu kemudian memaklumkan bahawa jumlah tambang yang tidak dibayar adalah kecil dan dia memilih untuk tidak memanjangkan isu tersebut.

Susulan video itu tular, pelancong berkenaan memuat naik video permohonan maaf.

Dia menegaskan tidak pernah berniat menipu sesiapa dan mendakwa insiden tersebut berpunca daripada salah faham serta halangan bahasa.

Malah, dia turut menyifatkan Vietnam sebagai “rumah keduanya”.

Permohonan maaf itu menerima pelbagai reaksi. Ada yang menerimanya, namun tidak kurang juga yang kekal skeptikal terhadap penjelasan yang diberikan.

Padam permohonan maaf dan dakwa dirinya mangsa ‘scammer’

Bagaimanapun, hanya sehari selepas permohonan maaf itu dimuat naik, lelaki berkenaan dilaporkan memadamkan video tersebut sebelum tampil dengan versi cerita yang berbeza.

Kali ini, dia mendakwa dirinya menjadi mangsa cubaan ‘scam’ dan peras ugut oleh pemandu teksi.

Menurutnya, dia cuba membayar AS$7.60 untuk perjalanan yang sepatutnya hanya bernilai sekitar AS$1.25 dan mendakwa mempunyai mesej sebagai bukti. Dia turut mempersoalkan, adakah rakyat Vietnam memang menyokong budaya menipu pelancong asing sepertinya?

Dia bercerita: “Semalam saya perlu keluar sedikit dari kawasan luar lapangan terbang, kira-kira 400 hingga 600 meter sahaja, kerana saya perlu mengambil barangan logistik pada pukul 8 pagi dan kembali semula untuk penerbangan pada pukul 8.25 pagi.

“Ketika itu saya tidak sempat menempah Grab kerana masa sangat suntuk dan menunggu Grab datang akan mengambil masa yang lama. Dia kata dia sedia membantu saya.

“Untuk pengetahuan anda semua, di Vietnam, ramai yang sering mendesak pelancong membayar secara tunai.

“Di seluruh dunia, pembayaran kad sudah diterima. Mengapa masih ada yang enggan menerima kad dan hanya mahu wang tunai? Malah ada yang mengenakan caj tambahan 5 hingga 10 peratus untuk pembayaran menggunakan kad.

“Saya sudah banyak kali menggunakan Grab di Vietnam, sekitar 25 hingga 30 kali, dan semuanya disambungkan kepada kad kredit saya. Jadi saya bukan seorang penipu.

“Saya membelanjakan kira-kira 5,000 dolar untuk perjalanan selama lapan hari di Vietnam. Bagaimana anda boleh melakukan perkara seperti ini kepada pelancong asing?

“Selepas tiga atau empat jam, saya menghubungi pemandu itu berkali-kali untuk bertanya berapa jumlah sebenar yang perlu saya bayar dan sedia meminta maaf.

“Saya malah menawarkan untuk membayar 200,000 dong walaupun jumlah sebenar hanya 33,000 dong, tetapi dia tetap tidak mahu menerimanya.

“Sekarang perkara ini menjadi tular dan dia pula mendapat perhatian. Adakah ini yang dia mahukan?

“Jika perkara seperti ini berterusan, ia boleh menjejaskan industri pelancongan Vietnam. Jangan menipu pelancong asing dan kemudian menyalahkan mereka.

“Saya sentiasa menghormati orang lain, tetapi kali ini saya benar-benar kecewa.”

Akhir sekali dia mahu menyaman sesiapa yang mengganggu dia dan keluarganya lagi selepas ini. Dia turut meminta pemandu teksi itu tampil menghubunginya demi kebaikan semua pihak.