Seorang pelancong dari Korea Selatan merayu bantuan sesiapa yang sanggup menyelam di perairan Sabah untuk mencari telefon pintarnya yang hilang, dengan menawarkan ganjaran sebanyak RM3,000.
Seorang doktor veterinar tempatan, Randolf Paza, menggunakan laman Facebooknya untuk membantu menyebarkan rayuan tersebut.
“Hai, saya Yeeun dari Korea Selatan. Saya sedang mencari penyelam untuk mencari telefon saya yang hilang. Saya tahu kebarangkaliannya sangat rendah, tetapi terdapat banyak gambar berharga di dalamnya. Jadi, saya cuba untuk kali terakhir,” katanya.
Difahamkan teelefon pelancong itu hilang pada Sabtu, 26 Julai kira-kira jam 5:15 petang dan dipercayai tenggelam di perairan berhampiran Pantai Tanjung Aru, di mana mereka melakukan aktiviti air selama kira-kira 10 minit.

“Saya rasa kemungkinan besar ia tenggelam kerana saya meletakkan telefon di dalam beg kalis air. Dan, saya rasa ombak tidak terlalu kuat, jadi ada kebarangkalian tinggi ia tenggelam di tempat itu,” jelasnya sambil menambah bahawa telefonnya adalah sebuah Galaxy S23 berwarna putih di dalam beg kalis air lutsinar.
Yeeun yang menyangka gambarnya telah disimpan di dalam cloud, lalu pulang ke Korea terlebih dahulu. Apabila menyedari sangkaannya salah, dia langsung membuat rayuan dengan menawarkan ganjaran RM3,000.
Walaupun tawaran dianggap agak banyak tetapi majoriti rakyat Malaysia menolak rayuan pencarian itu kerana mendakwa ia tidak berbaloi.
Apa sebabnya? Ramai yang berpendapat bahawa usaha mencari telefon itu mungkin tidak berbaloi, terutamanya dengan kehadiran buaya di kawasan tersebut.
Malah, seorang lelaki mendakwa dirinya penyelam bertauliah berkongsi lanjut sebab apa ia tidak berbaloi adalah kerana kedalaman dan arus laut dalam yang dahysat.
Ditambah pula dengan radius pencarian yang berskala besar membuatkan pencarian lebih sukar seumpama mencari jarum di dalam tumpuk jerami.
Ada yang berseloroh pula mengatakan nanti individu yang pergi mencari pula yang gagal ditemui, tetapi sebahagian lain hanya mendoakan agar telefon pintarnya ditemui semula dengan selamat kerana kenangan yang tersimpan di dalamnya sangat bermakna buat mangsa.