Nama Masahiro Sasaki bukanlah satu nama asing dalam dunia sukanpermotoran.
Beliau merupakan pelumba profesional dan jurutera pembangunan di bawah Toyota Gazoo Racing, terkenal dengan penglibatannya dalam siri perlumbaan seperti 86/BRZ Race dan Super Taikyu Series.
Selain aktif di litar, beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan kenderaan berprestasi Toyota, termasuk GR86 dan GR Corolla H2 Concept yang menggunakan bahan api hidrogen.
Baru-baru ini Masahiro Sasaki berjaya menawan Litar Antarabangsa Sepang dengan sebuah Toyota GR86 ‘istimewa’ di GR86 Sepang Attack yang dianjurkan oleh D1 Motorsports.

Dalam sesi ujian yang padat dengan adrenalin itu, Masahiro Sasaki mempamerkan kawalan penuh ke atas Toyota GR86 Ings+1 tersebut, menonjolkan keseimbangan sempurna antara kuasa, kestabilan dan ketepatan pemanduan.
Beliau menawan litar sepanjang 5.54 kilometer itu dengan catatan masa terbaik 2 minit 29.379 saat.
Aksi POV Masahiro Sasaki boleh ditonton di bawah.
Kereta Toyota GR86 Ings+1 itu di bawa masuk oleh D1 Motorsports. Sejak tahun 2012, D1 Motorsports merupakan pengedar utama yang sah bagi produk Ings+1 di Malaysia.
Pada tahun lalu, pemilik Ings+1, Encik Yamano, telah menawarkan kepada D1 Motorsports untuk membawa masuk kereta demo ini ke Malaysia.
Namun, pasukan D1 hanya berpeluang melihat kereta tersebut secara fizikal buat kali pertama semasa Tokyo Auto Salon 2025.
Selepas itu, mereka melawat ibu pejabat Ings+1 di Nara, menjalankan sesi pandu uji, dan akhirnya memutuskan untuk membawa kereta demo ini ke Malaysia.

Kereta ini digunakan sebagai sebahagian daripada promosi Ings+1 bagi memperkenalkan kit aero prestasi mereka, yang telah digunakan secara meluas dalam sesi time attack di pelbagai litar terkenal Jepun seperti Tsukuba dan Suzuka, bagi membuktikan bahawa kereta dengan bodykit Ings sahaja mampu mencatat masa yang pantas tanpa perlu modifikasi enjin yang ekstrem.
Encik Yamano kemudian mencadangkan bahawa, buat pertama kalinya, mereka akan mencatatkan masa terbaik di luar litar Jepun, iaitu di Litar Antarabangsa Sepang pada penghujung Ogos 2025 baru-baru ini.

Selain daripada kerjasama dengan Ings+1, D1 Motorsports turut bekerjasama dengan TD Racing, iaitu pasukan milik Tengku Djan Ley, bagi urusan alignment dan persediaan teknikal kereta sebelum turun ke litar.
Sementara itu, Lube World Holding (Nasa Oil) turut tampil sebagai salah satu penaja rasmi bagi acara ini, menjadikan GR86 Sepang Attack sebagai platform besar yang menggabungkan kepakaran teknikal dan semangat perlumbaan antara Jepun dan Malaysia.