Tottenham Hotspur mungkin terpaksa menjual beberapa pemain paling bernilai mereka sekiranya tersingkir daripada English Premier League (EPL) musim hadapan.
Kelab yang kini dibimbing Igor Tudor itu hanya empat mata di atas zon penyingkiran dan berbaki 11 perlawanan liga musim ini dengan 29 mata dikumpul.
Tewas 4-1 di laman sendiri kepada Arsenal sudah cukup untuk membangkitkan kemarahan majoriti penyokong Spurs, namun ancaman penyingkiran daripada EPL sebenarnya membawa masalah yang jauh lebih besar buat kelab tersebut.
Walaupun membawa masuk nama-nama besar seperti Xavi Simons, Randal Kolo Muani, Mathys Tel dan Mohammed Kudus pada jendela perpindahan musim panas lalu, Spurs berpotensi beraksi di saingan Championship musim depan sekiranya prestasi mereka tidak menunjukkan peningkatan.
Malang Buat Tottenham Hotspur
Malah, baki 11 aksi terakhir itu juga menyaksikan mereka akan berhadapan dengan Aston Villa, Liverpool, Chelsea dan Everton
Walaupun mungkin sangat jauh daripada sudut pemikiran normal seorang peminat bola sepak, tetapi tiada yang mustahil melihatkan kepada prestasi semasa pasukan.
Hal ini kerana kali terakhir Spurs menang dalam aksi liga adalah pada 29 Disember sewaktu menundukkan Crystal Palace 1-0.
Memasuki tahun 2026, mereka hanya mencatatkan empat keputusan seri dan lima kekalahan dalam kempen liga.
Sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, implikasi kewangan yang besar boleh berlaku sekiranya kelab itu terjatuh ke divisyen kedua bola sepak England.
Menurut sumber laporan The Telegraph, para pemain dipercayai tidak mempunyai klausa pengurangan gaji dalam kontrak mereka sekiranya pasukan tersingkir.
Laporan sama turut menyebut bahawa pemain akan terlepas bonus kelayakan ke pentas Eropah sekiranya berlaku penyingkiran, sesuatu yang sekurang-kurangnya dapat membantu kelab menjimatkan sebahagian perbelanjaan.
Namun, menanggung pemain dengan gaji bertaraf skuad UEFA Champions League (UCL) mungkin tidak lagi realistik sekiranya kelab benar-benar tersingkir ke divisyen bawahan, sesuatu yang berpotensi mencetuskan penjualan besar-besaran pemain.
Pemain Bakal Angkat Kaki
Secara logiknya, pemain dengan pendapatan tertinggi dijangka menjadi kelompok pertama yang akan dilepaskan, dengan sembilan tonggak utama terdiri daripada Simons, Cristian Romero, James Maddison, Conor Gallagher, Kolo Muani, Kudus, Dominic Solanke, Joao Palhinha dan Dejan Kulusevski.
Ketika ini mereka dilaporkan menerima gaji melebihi £100,000 seminggu.
Di bawah kelompok tersebut, Richarlison, Micky van de Ven, Pedro Porro dan Radu Dragusin pula memperoleh antara £85,000 hingga £90,000 seminggu.
Sudah tentu, mengurangkan beban gaji tinggi dalam struktur kewangan kelab adalah satu pertimbangan utama, namun menjual pemain secara terus untuk mendapatkan yuran perpindahan juga merupakan aspek yang sama penting dalam usaha menstabilkan kedudukan kewangan.
Berdasarkan penilaian Transfermarkt, Van de Ven, Romero, Simons, Kudus, Kulusevski dan Porro merupakan antara pemain paling bernilai dalam skuad Spurs ketika ini, dengan tiga daripadanya iaitu Kudus, Simons dan Romero turut berada dalam kelompok enam pemain bergaji tertinggi.
Rekrut Januari, Gallagher sebagai antara pemain yang berpotensi meninggalkan kelab bersama Kevin Danso, Djed Spence, Destiny Udogie, Guglielmo Vicario dan Rodrigo Bentancur.
Malah, sukar untuk membayangkan Tel atau Yves Bissouma beraksi di pentas Championship sekiranya Spurs tersingkir.
Van de Ven dijangka tidak berdepan masalah dengan Real Madrid dan Liverpool antara kelab yang dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya.
Pada Januari lalu, Spurs meletakkan nilai pemain antarabangsa Belanda itu melebihi £100 juta.
Namun, angka tersebut berkemungkinan menurun sekiranya kelab terpaksa menjualnya susulan penyingkiran.
Romero pula, yang sebelum ini lantang bersuara mengenai isu ‘kekurangan skuad’, juga dilihat berpotensi mencari haluan baharu, dengan Barcelona dan Atletico Madrid antara kelab yang dikatakan berminat.
Musim lalu juga Tottenham Hotspur berada di kelompok bawahan apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-17, namun 13 mata meninggalkan Leicester City yang terpaksa turun pangkat ke saingan Championship.