Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbrückner menegaskan pemain hilang keyakinan menjadi punca mereka tewas kepada Preah Khan Reach Svay Rieng dalam aksi sulung kumpulan A saingan Piala Shopee.

Wakil Malaysia itu memberikan saingan hebat kepada wakil Kemboja pada separuh masa kedua tetapi tewas dengan keputusan 3-2 sekaligus memulakan saingan dengan langkah kiri.

Baca Juga:

Menurut Tomislav, persembahan agresif yang ditampilkan oleh pasukan lawan pada separuh masa pertama nyata menyebabkan pemainnya hilang keyakinan sekaligus dibolosi dua gol.

“Mereka jaringkan dua gol pada separuh masa pertama. Kesilapan besar yang berlaku terutama membabitkan gol kedua pasukan lawan.

“Mereka menghantar bola kepada penyerang nombor 8 (Pablo Augusto), mencipta beberapa peluang baik pada separuh masa pertama. Kita nampak teruk, kita kelihatan (bermain) tanpa keyakinan dan identiti.

“Separuh masa kedua saya sedikit berpuas hati kerana kita bermain dengan lebih baik. Kita dapat menekan, kita menjaringkan dua gol dalam beberapa situasi. Tetapi gol ketiga berlaku disebabkan kesilapan membuat hantaran dan kita kehilangan bola untuk yang ketiga.,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan Terengganu-Svay Rieng yang disiarkan di TFC TV.

Preah Khan Reach Svay Rieng menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua menerusi Gabriel Silva dan Pablo Augusto. Pasukan tuan rumah menampilkan kebangkitan pada separuh masa kedua dengan menyamakan kedudukan menerusi Safawi Rasid dan Manuel Ott.

Ketika mereka sedang rancak mencari gol penyamaan, pemain gantian iaitu Min Ratanak menjaringkan gol ketiga pasukan pelawat sekaligus memastikan pasukannya membawa pulang tiga mata.

Terengganu bakal berdepan wakil Vietnam, Thanh Hoa untuk perlawanan kedua Kumpulan A pada 25 September ini.