Kejohanan Badminton Dunia 2025 yang berlangsung di adidas Arena, Perancis sudah memasuki pusingan 16 pada hari ini dengan lapan wakil Malaysia turut bakal beraksi.

Namun, di sebalik debaran kemaraan, tumpuan peminat badminton dunia turut terarah kepada beberapa nama besar yang sudah pun mengucapkan selamat tinggal lebih awal daripada kejohanan edisi kali ini.

Baca Juga:

Beberapa pilihan utama yang dijangka mampu mara jauh nyata dikejutkan lawan masing-masing sekali gus menambah elemen kejutan dalam saingan berprestij ini.

Kekalahan awal mereka bukan sahaja mengejutkan penyokong, malah turut mengubah landskap perebutan kejuaraan.

Pemain Pilihan Yang Tersingkir Awal

Kejutan terbesar pastinya tertumpu kepada kekalahan beregu campuran nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping tewas di tangan Mathias Christiansen-Alexandra Boje 21-14, 13-21, 18-21.

Selain itu antara pemain pilihan yang tersingkir awal termasuklah Li Shi Feng (keempat), Lu Guang Zu (ke-11), Lin Chun-Yi (ke-12) dalam sektor perseorangan lelaki.

Shi Feng tersingkir seawal pusingan pertama selepas tunduk ditangan pemain bukan pilihan dari Jepun, Yushi Tanaka 21-19, 11-21, 15-21, Guang Zu pula dikejutkan pemain Kanada, Victor Lai pada aksi pusingan kedua 21-13, 12-21, 10-21.

Chun-Yi pula ditunjukkan jalan keluar oleh pemain muda Indonesia Alwi Farhan 17-21, 20-22.

Dalam acara perseorangan wanita, Ratchanok Intanon yang merupakan pilihan ke-10 kejohanan dikecewakan pemain Vietnam, Nguyen Thuy Linh 17-21, 18-21.

Pemain pilihan ke-13, Yeo Jia Min dari Singapura pula tewas kepada Busanan Ongbamrungphan dari Thailand.

Beregu lelaki pula menyaksikan satu kejutan apabila Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani (pilihan kelapan) tewas kepada pasangan Denmark, Raswmus Kjaer-Frederik Soogard 18-21, 21-18, 24-26.