Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakhiri Kejohanan Dunia 2025 dengan penuh gemilang apabila berjaya muncul juara saingan berprestij yang diadakan di adidas Arena, Perancis sebentar tadi.
Kejayaan penuh bermakna selaku juara dunia pertama dari beregu campuran itu pastinya merupakan hadiah paling bernilai buat rakyat Malaysia bersempena hari kemerdekaan ke-68, hari ini.
Berdepan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang merupakan pasangan ranking kedua dunia langsung tidak menyentap semangat juang Tang Jie-Ee Wei untuk mencipta sejarah.
Ia jelas dibuktikan dengan aksi bertenaga pada set pertama yang beberapa kali memerangkap lawan dari China itu untuk mereka menang 21-15.
Cabaran lebih sengit diberikan Zhen Bang-Ya Xin pada set kedua apabila mereka bangkit dengan mengurangkan defisit mata daripada 6-11 ke 11-12.
Namun, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kekal tenang untuk mengutip mata demi mata sekali gus memastikan kejuaraan edisi 2025 menjadi milik mereka dengan penuh bergaya 21-14.
Kejayaan penuh bersejarah itu turut mengulangi pencapaian dilakarkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada Kejohanan Dunia 2022 di Jepun.
Tumpuan pencinta badminton negara selepas ini akan beralih ke pasangan beregu wanita apabila Pearly Tan-M. Thinaah berhadapan dengan pasangan nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China.