Kejohanan badminton Terbuka Denmark 2025 yang berlangsung di Jyske Bank Arena, Odense sudah memasuki pusingan 16 pada hari ini dengan hanya lima daripada 13 wakil negara meneruskan kemaraan.
Namun, di sebalik debaran kemaraan, tumpuan peminat badminton turut terarah kepada beberapa nama besar terutamanya melibatkan pemain negara yang sudah pun mengucapkan selamat tinggal lebih awal daripada kejohanan edisi kali ini.
Baca Juga:
- Terbuka Denmark 2025: Ini Jumlah Wang Tunai Bakal Diraih Pemain

- Senarai Pemain Malaysia Sertai Terbuka Denmark 2025

- Saranan Mendiang Bapa Rintis Karier Gemilang Rexy Mainaky Takluk Dunia Badminton

Kejutan Awal Terbuka Denmark 2025
Ia dibuktikan dengan dua sandaran utama negara dalam beregu lelaki iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terkandas awal dalam Terbuka Denmark ini.
Turun selaku pilihan kedua kejohanan, Aaron-Wooi Yik tewas ditangan pasangan yang baharu digandingkan dari Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat 17-21, 13-21.
Pilihan ketiga, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut mengikuti jejak langkah rakan senegara mereka selepas ditunjukkan jalan keluar oleh juara Terbuka Arctic, Ben Lane-Sean Vendy 13-21, 21-13, 14-21.
Malang turut menimpa Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (pilihan keempat) selepas tumbang kepada Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin dari Chinese Taipei 17-21, 21-13, 15-21.
Juara perseorangan lelaki Terbuka Arctic, Chou Tien Chen yang merupakan pilihan kelima turut mengalami nasib sama selepas tewas kepada Viktor Axelsen 19-21, 12-21 .
Tiga sektor lain turut memperlihatkan kejutan selepas Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia tewas kepada Kirsty Gilmour dari Scotland 7-21, 14-21 manakala dalam beregu wanita, Li Yi Jing-Luo Xu Min dari China tewas ditangan pasangan Chinese Taipei, Hsu Yin-Hui-Lin Jhih Yun 25-23, 15-21, 18-21.
Gandingan beregu campuran Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue pula kalah kepada Lee Jong Min-Chae Yu Jung 21-17, 18-21, 19-21 .