Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong melakar sensasi pada pusingan 16 kejohanan badminton Terbuka Denmark 2025 selepas menewaskan pasangan ranking nombor satu dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Ketika mereka langsung tidak diletakkan sebarang harapan, Azriyn dan Wee Kiong beraksi dengan cukup cemerlang untuk menyaingi lawan dari Korea Selatan tersebut.

Baca Juga:

Meskipun ketinggalan 2-7 serta 4-10 pada satu ketika, pasangan berpengalaman itu tampil dengan lebih baik untuk meraih mata demi mata dan hanya dipisahkan 10-11 pada rehat ‘interval’.

Pasangan ranking ke-24 dunia itu sempat ketinggalan 10-14 dan kemudiannya beraksi dengan lebih kemas untuk memastikan set pertama menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-19.

Azriyn-Wee Kiong Terus Cemerlang

Mendapat semangat susulan kemenangan penting set pertama itu, Azriyn-Wee Kiong terus menyajikan corak permainan bertenaga dalam memberikan kesukaran buat Won Ho-Seung Jae.

Memegang kelebihan 11-10, pasangan negara itu tidak lagi menoleh ke belakang dengan mendapatkan mata demi mata yang akhirnya menghadiahkan kemenangan 21-14 untuk melangkah ke suku akhir.

Lebih manis, ia merupakan pertama kali kedua-dua pasangan bertemu di pentas badminton antarabangsa.

Dalam perkembangan lain di Terbuka Denmark 2025, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut mengikuti jejak langkah Azriyn-Wee Kiong mara ke suku akhir selepas pasangan suami isteri itu menundukkan Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara dari Jepun dengan 21-13, 21-18.