Baru sebulan saingan Liga Malaysia musim 2024/25 membuka tirai namun sudah ada pasukan yang dilaporkan berdepan isu tunggakan gaji dimana pasukan Sri Pahang antara kelab yang menjadi sebutan ketika ini.
Menerusi laman media sosial, beberapa pemain telah memuat naik gambar yang memberi gambaran bahawa mereka masih belum menerima bayaran gaji yang dipercayai sudah memasuki tiga bulan.
Baca Juga:
- Masalah Kewangan Kedah Tambah Parah, Hanya Mampu Bertahan Dua Bulan
- Kelab Liga Super Mula Hadapi Masalah Gaji?
- ‘Angin Bertiup Kencang’, Sabah Turut Hadapi Masalah Tunggakan Gaji
@TwtBolaPahang pic.twitter.com/rR7ioxKnwS
— Onefootball.my (@OnefootballM) June 13, 2024
Penjaga gol Sri Pahang, Muhammad Azfar Arif memuat naik sekeping foto di Insta Story bertulis ‘tidak ada manusia yang sedang baik-baik saja di dunia ini, semua sedang berjuang dengan ujian masing-masing’.
Hantaran tersebut semakin kelihatan seperti gesaan kepada pihak pengurusan untuk menyelesaikan isu gaji apabila Azfar Arif menulis kapyen ‘kita tunggu esok (Jumaat) macam mana ada tidak’.
Selain itu, seorang lagi penjaga gol Sri Pahang iaitu Zarif Irfan pula membuat hantaran berbentuk sindirian kepada pihak pengurusan yang sering mengelak daripada menjalankan tanggungjawab mereka.
Manakala, Syazwan Andik memuat naik kapsyen ‘dua kali raya’ yang seolah-olah memberi gambaran bahawa masalah ini berlaku sejak sambutan Hari Raya Aidilfitri pada April lalu dan masih berlaku sehingga perayaan Hari Raya Aidiladha pada 17 Jun ini.
Sebelum ini, pasukan Sabah dilaporkan turut mengalami masalah sama selepas pendedahan yang ditunjukkan oleh salah seorang penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Khairul membalas satu komen dimana beliau mengatakan sudah lama tidak dibayar dan perkara ini terus menjurus kepada isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh pasukan Liga Super itu.
Sebelum ini, terdapat laporan yang mengatakan pemain Sabah belum menerima gaji sebanyak empat bulan selepas pemain seperti Saddil Ramdani dan Farhan Roslan dilihart meraikan jaringan ketika bertemu PSIS Semarang dalam satu kejohanan pra musim dengan menunjukkan isyarat empat jari.
Sehubungan dengan itu, Mohd Joh Wid yang merupakan Pengurus Besar Sabah menegaskan bahawa spekulasi itu hanyalah bersifat ‘serkap jarang’ dan keadaan tidak seburuk disangka.
“Saya tidak akan menjawab tuduhan mengenai perkara ini (masalah pembayaran gaji) kerana ia akan memanjangkan lagi isu, bukannya meredakan apa yang dibangkitkan itu.”
“Apa yang saya boleh katakan, gaji pemain akan tetap dibayar dan saya mahu sebut situasi Sabah ketika ini tidak seteruk seperti apa yang dicakap (digambarkan) di media sosial itu.”
“Saya tidak mahu akan timbul lagi polemik lain jika saya menjawab perkara itu,” katanya.