Perancang tengah pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jalil Elias dilaporkan telah kembali ke Argentina menyertai kelab divisyen utama, Velez Sarsfield.
Menurut kenyataan rasmi, pemain skuad kebangsaan Syria itu telah menyertai Velez secara pinjaman selama 6 bulan dari JDT dengan bayaran serta pilihan untuk membeli.
Baca Juga:
Beliau merupakan rekrut kelima yang ditandatangani oleh skuad kendalian Gustavo Quinteros bagi menghadapi baki saingan liga tersebut pada musim ini.
Pemain berusia 27 tahun itu menyertai JDT dengan status sebagai pemain termahal Liga Malaysia (Liga M) dengan anggaran nilai tiga juta Euro (RM15.2 juta).
Berdasarkan laman sesawang Transfermarkt, ketika itu Elias merupakan pemain termahal dalam skuad JDT selepas Jordi Amat dan Fernando Forestieri.
Kali terakhir Jalil Elias beraksi bersama JDT ialah ketika saingan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada 18 Mei lalu.
Karier Jalil bermula dengan Newell’s Old Boy yang merupakan akademi melahirkan Lionel Messi. Dia diserap masuk ke pasukan utama beberapa tahun kemudian dan dipinjamkan ke Godoy Cruz dan menyertai kelab itu secara tetap.
Namun pada akhir musim 2018 dia kembali ke Newell’s sebelum kembali semula ke Godoy musim berikutnya. Selepas beberapa siri perpindahan dengan beberapa kelab terutama sekali Godoy, beliau kemudian menyertai San Lorenzo pada 2021.
Pada musim lalu, dia bermain sebanyak 43 kali untuk San Lornezo dan menjaringkan 2 gol serta 3 assist. Dia turut menjadi kapten San Lorenzo.