Menolak tawaran daripada Manchester United demi meneruskan pengajian di universiti bukanlah keputusan yang akan dibuat oleh kebanyakan peminat bola sepak. Namun, itulah realiti yang dilalui oleh pemain ini.
Pemain yang dimaksudkan ialah penjaga gol skuad kebangsaan Amerika Syarikat dan New York City iaitu Matt Freese.
Menurut sumber laporan Marca, beliau mendedahkan bahawa pernah menolak peluang menyertai gergasi Liga Perdana Inggeris itu kerana mahu mengutamakan pelajaran dan melanjutkan pengajian di universiti.
Penjaga gol berusia 27 tahun itu kini muncul sebagai pilihan utama jurulatih Mauricio Pochettino meskipun baru melakukan penampilan sulung bersama skuad kebangsaan Amerika Syarikat tahun lalu.
Freese menikmati kempen Piala Dunia yang cemerlang setakat ini apabila hanya melepaskan satu gol dalam dua penampilannya.
Aksi mantapnya membantu Amerika Syarikat mencatat kemenangan meyakinkan ke atas Paraguay dan Australia pada peringkat kumpulan sekali gus melangkah ke pusingan kalah mati dengan penuh bergaya.
Freese mendedahkan beliau menghormati hasrat ibu bapanya yang mahu beliau memberi tumpuan kepada pelajaran terlebih dahulu berbanding bola sepak sekali gus menyebabkan perpindahan ke Old Trafford tidak pernah menjadi kenyataan.
“Ia sebahagian besarnya merupakan keputusan keluarga [menolak tawaran Manchester United]. Terdapat beberapa perbincangan yang agak sukar antara saya dan ibu bapa mengenai perkara ini.”
“Saya sebenarnya mempunyai haluan yang saya mahu pilih, tetapi saya perlu menghormati kehendak mereka. Mereka telah banyak berkorban untuk saya, jadi saya merasakan saya perlu membalas pengorbanan itu dengan menghormati keputusan mereka.”
“Apabila tiba masa yang sesuai, barulah saya membuat keputusan untuk diri saya sendiri.”
Tolak Tawaran Manchester United Demi Universiti Harvard
Freese kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Harvard, namun pada masa sama terus mengembangkan karier bola sepaknya dengan mewakili pasukan Harvard Crimson.
Bagaimanapun, beliau tidak menamatkan pengajiannya di Harvard apabila memilih untuk meninggalkan universiti setahun lebih awal bagi menyertai kelab zaman kanak-kanaknya, Philadelphia Union sebagai pemain homegrown menjelang musim MLS 2019.
Menurut Freese, keputusan untuk menangguhkan pengajian dan beralih ke pentas bola sepak profesional bukanlah sesuatu yang sukar.
“Bagi saya, ia adalah keputusan yang sangat jelas. Jika saya mahu memiliki kerjaya seperti yang saya impikan dan mencapai apa yang saya sasarkan di atas padang, lebih awal saya memulakan kerjaya profesional, lebih baik.
“Ia adalah keputusan yang agak semula jadi kerana semua pihak sependapat mengenai perkara itu,” tambah beliau lagi.