Seorang pemandu lori didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah menghantar gambar dan video luc*h bekas isterinya kepada suami wanita berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Shahrul Rizal Majid terhadap Mohd Suhaimi Yusof, 50, selepas dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan.

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh didenda RM6,000. Jika gagal membayar denda, dia berdepan hukuman penjara selama dua bulan bagi setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Suhaimi didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi WhatsApp secara tidak wajar dengan menghantar tiga keping gambar dan dua rakaman video l*cah kepada seorang lelaki dengan niat mengganggunya.

Kesemua perbuatan itu dilakukan pada 22 Mac 2023 di sebuah premis di Mantin, Seremban.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Seksyen 233(3) memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pengadu menerima beberapa gambar dan video berunsur luc*h daripada tertuduh yang merupakan bekas suami kepada isterinya.

Kandungan tersebut memaparkan isteri pengadu sehingga menyebabkan dia berasa amat terkilan dan terganggu.

Pengadu kemudian membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Mohd Suhaimi yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan terhadap hukuman tersebut. Malah, dia memaklumkan bahawa dia reda sekiranya dihukum penjara.

Tertuduh mempunyai empat anak dan tiga daripadanya masih bersekolah. Dia bagaimanapun bertindak demikian kerana berang selepas mendakwa dirinya ditipu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Shahrul Rizal menasihatkan tertuduh supaya berfikir terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah/Pegawai Pendakwa MCMC, Mohamad Farhan Kamarudin.