Niat untuk menjaga kesihatan dengan berjoging di kawasan perumahan bertukar menjadi detik hitam bagi seorang lelaki apabila diserang dua ekor anjing milik jirannya.

Kejadian yang berlaku lima tahun lalu itu akhirnya mendapat pembelaan sewajarnya selepas Mahkamah Sesyen memutuskan bahawa pemilik haiwan berkenaan bertanggungjawab sepenuhnya atas kecederaan parah yang dialami mangsa.

Detik Cemas Semasa Berjoging

Memetik Sinar Harian, dalam insiden pada 10 Februari 2021 di Taman Anjung Tiara, Segambut, Datuk Mohd Kamal Abdullah sedang berjoging sebelum didatangi dua ekor anjing baka German Shepherd milik jirannya, Datuk Seri Ong Thiam Boon.

Ketika berusaha melindungi diri daripada serangan haiwan itu, beliau terjatuh sehingga mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang belakang yang memerlukan pembedahan serta rawatan susulan.

Mohd Kamal mendakwa kejadian berpunca daripada kegagalan jiran beliau mengawal haiwan peliharaan serta membiarkan pintu pagar rumah tidak tertutup rapi.

“Saya hanya mahu berjoging dengan selamat di kawasan kediaman, tetapi kecuaian memastikan pintu pagar tertutup menyebabkan anjing-anjing tersebut keluar dan menyerang saya,” tegas beliau dalam dakwaannya.

Penafian Defendan Dan Tuntutan Balas

Bagaimanapun, Thiam Boon menafikan dakwaan bahawa anjing peliharaannya menyerang atau menyentuh plaintif. Menurut pembelaannya, Mohd Kamal sebenarnya hilang keseimbangan lalu terjatuh ke belakang sewaktu berada di jalan yang curam dan tidak rata selepas mengayunkan tongkat ke arah anjing-anjing tersebut.

Defendan mendakwa kecederaan itu berpunca daripada kecuaian plaintif sendiri. Malah, Thiam Boon turut mengemukakan tuntutan balas dengan mendakwa plaintif mengugutnya sehingga menimbulkan ketakutan, penghinaan dan tekanan mental. Namun begitu, tuntutan balas berkenaan ditolak sepenuhnya oleh mahkamah berserta kos.

Keputusan Mahkamah Dan Pembayaran Ganti Rugi

Hakim Zawiyah Saad membuat keputusan tersebut selepas mempertimbangkan keterangan saksi, dokumen yang dikemukakan serta hujahan bertulis kedua-dua pihak sepanjang perbicaraan penuh.

Mahkamah memerintahkan Thiam Boon membayar ganti rugi khas sebanyak RM178,457.60 dan ganti rugi am sebanyak RM70,000.

Defendan turut diarahkan membayar faedah lima peratus setahun ke atas jumlah berkenaan bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, berserta kos global sebanyak RM15,000 kepada plaintif.

Dalam prosiding itu, Mohd Kamal diwakili peguam Shahril Madisa daripada Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq, manakala Thiam Boon diwakili Tan Shao Jia dan Wong Win Xien daripada Tetuan Manjit Singh Sachdev, Mohammad Radzi & Partners.

Keputusan ini menjadi peringatan penting buat semua pemilik haiwan peliharaan agar sentiasa peka dan bertanggungjawab terhadap keselamatan jiran tetangga di persekitaran mereka.