Sayu hati apabila membaca berita tentang seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang parah diserang sekumpulan anjing liar baru-baru ini.
Insiden yang berlaku pada 5 September lalu di Kampung Tambak, Sungai Kelambu, Peserai ini betul-betul membuka mata ramai pihak, terutamanya apabila wujud suara-suara sumbang yang tergamak menyalahkan mangsa pula.
Kronologi tragedi si kecil Nur Haira
Berdasarkan laporan, mangsa yang dikenali sebagai Nur Haira ketika kejadian sedang dijaga oleh neneknya, Darlinda.
Bayangkan, ini merupakan kali pertama si kecil itu ditinggalkan di sana memandangkan ibu bapanya terpaksa ke kawasan bandar Johor untuk urusan kerja.
“Waktu kejadian, saya baru sahaja lepas mandi. Tiba-tiba saya perasan pintu depan rumah sudah terbuka,” luah Darlinda yang cemas mencari cucunya.
Alangkah luluhnya hati si nenek apabila melangkah keluar dan melihat lima ekor anjing liar sedang rakus menyerang cucu kesayangannya.
Tanpa berlengah, Darlinda dan anak lelakinya terus bergegas membawa Nur Haira ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Disebabkan kecederaan yang sangat serius, mangsa terpaksa dirawat di zon merah dan ditidurkan, sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk rawatan pakar yang lebih rapi.
Dari mana datangnya anjing-anjing liar ini?
Mesti ramai yang tertanya-tanya, bagaimana sekumpulan anjing yang agresif ini boleh berkeliaran di kawasan perumahan?
Menurut nenek mangsa, haiwan-haiwan tersebut sebenarnya ditinggalkan oleh kumpulan pemburu yang sebelum ini menggunakan khidmat anjing terbabit untuk memburu babi hutan di ladang kelapa sawit berhampiran.
Habis memburu, anjing-anjing itu dibiarkan begitu sahaja tanpa tuan.
Pun begitu, menurut perkongsian terkini daripada ahli keluarga mangsa, pembedahan Nur Haira telah pun berjalan lancar.
Keadaannya kini dilaporkan stabil namun masih dalam pantauan rapi pihak doktor. Syukurlah, sekurang-kurangnya ada sinar kelegaan buat keluarga ini.
Respon tegas persatuan haiwan malaysia
Di sebalik trauma dan kesedihan keluarga mangsa, wujud pula segelintir ‘pencinta haiwan’ yang didakwa menyalahkan kanak-kanak itu kerana kononnya telah memprovokasi anjing-anjing tersebut.
Lebih tidak masuk akal, ada juga yang menuding jari kepada ibu bapa mangsa kerana membiarkan anak kecil itu bermain di luar rumah.
Tindakan kurang empati ini telah mengundang kemarahan Persatuan Haiwan Malaysia (MAA). Menerusi satu hantaran, mereka secara terbuka mencabar para pejuang anjing jalanan ini untuk tampil membuat sidang media untuk membela haiwan agresif tersebut, lebih-lebih lagi apabila ada pihak mendakwa anjing berkenaan adalah milik mereka.
Bukan itu sahaja, persatuan tersebut turut mendedahkan bahawa wujud tuntutan tidak masuk akal daripada golongan pendesak ini yang meminta kerajaan menyediakan tanah seluas 10 hingga 20 ekar berserta dana RM10 juta semata-mata untuk menempatkan anjing liar.
Keselamatan nyawa manusia harus diutamakan
Dalam kenyataan rasmi yang sama, Persatuan Haiwan Malaysia menegaskan bahawa nyawa dan keselamatan manusia tidak boleh sama sekali dikompromi.
“Keselamatan 32 juta rakyat Malaysia mesti diutamakan berbanding perasaan 300 penyokong tegar anjing liar yang agresif.
Semua 32 juta rakyat Malaysia berhak untuk berasa selamat bergerak bebas di rumah mereka sendiri dan di mana-mana sahaja dalam negara ini tanpa perlu berasa takut diserang oleh anjing liar yang agresif,” tegas wakil persatuan tersebut.
Mereka juga mengingatkan orang ramai supaya mengabaikan sahaja suara-suara pihak yang sekadar pandai membela anjing liar di media sosial tetapi lepas tangan dan tidak mahu mengambil tanggungjawab apabila kejadian seumpama ini berlaku.
Tuntasnya, isu ini bukan sekadar tentang hak asasi haiwan, tetapi realiti keselamatan masyarakat sekeliling. Harapnya pihak berwajib dapat mengambil tindakan yang lebih proaktif dan tegas supaya mimpi ngeri seperti ini tidak berulang lagi kepada keluarga lain.