Modifikasi kereta seperti penggunaan rim sukan, suspensi lowered, kit badan, serta peningkatan prestasi enjin bukan sahaja mengubah penampilan dan pemanduan kenderaan, malah memberi kesan secara langsung terhadap premium, skop perlindungan, dan tuntutan insurans.

Insurans kenderaan diubah suai merujuk kepada perlindungan motor bagi kenderaan yang telah diubah daripada spesifikasi asal kilang.

Perubahan pada komponen utama seperti enjin, casis, turbocas, sistem suspensi, mahupun penggunaan rim bernilai tinggi boleh meningkatkan nilai pasaran atau kos pembaikan kenderaan, sekali gus wajar dimaklumkan kepada syarikat insurans.

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) menasihati pemilik kenderaan supaya sentiasa memaklumkan sebarang ubah suai kepada penanggung insurans masing-masing, petik Malay Mail.

Menurut PIAM, pengubahsuaian yang meningkatkan risiko kemalangan boleh mengakibatkan kadar premium lebih tinggi atau dalam sesetengah keadaan, permohonan perlindungan mungkin ditolak.

Langkah mengisytiharkan pengubahsuaian ini turut mempengaruhi proses tuntutan. PIAM menegaskan bahawa jika pengubahsuaian tidak diisytiharkan dan kemalangan berlaku disebabkan oleh perubahan berkenaan, syarikat insurans mempunyai asas kukuh untuk menolak liabiliti di bawah polisi terbabit.

Dalam pada itu, setiap jenis ubah suai membawa implikasi insurans yang berbeza.

Perubahan kosmetik dinilai secara berasingan berbanding pengubahsuaian pada enjin atau prestasi pemanduan.

Komponen pasaran pasca (aftermarket) seperti kit badan atau alatan prestasi tinggi memerlukan kos penggantian lebih tinggi sekiranya berlaku kemalangan, di mana perlindungannya tertakluk kepada terma, had, serta pengecualian polisi.

Justeru, pemandu dinasihatkan menyemak semula skop perlindungan dan membandingkan premium, jumlah diinsuranskan (sum insured), serta faedah yang ditawarkan sebelum memperbaharui insurans kenderaan — khususnya jika kenderaan telah diubah suai selepas polisi terdahulu dikeluarkan.

Sumber