5 hari lalu, saluran YouTube CBS News telah berkongsikan kisah kejayaan sebuah restoran makanan Malaysia yang diusahakan oleh seorang chef berasal dari New Delhi,India iaitu Salil Mehta.

Temu bual ringkas tersebut menceritakan bagaimana Salil membangunkan restoran Laut, ‘restoran makanan Malaysia’ pertama yang menerima bintang Michelin di New York.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Salil menghasilkan makanan mengikut ‘citarasanya’ dan mula belajar masakan Malaysia daripada ‘kajian’ dan komuniti Thai yang menetap di New York.

Salil berkata dia bermula sebagai pelajar rekaan dunia fesyen namun meninggalkan industri itu dan mengambil alih Laut pada tahun 2010 dan mencuba bidang ini untuk ‘meneruskan kehidupan’.

Salil mengakui, seumur hidupnya dia tidak pernah ke Malaysia. “Saya tidak pernah ke Malaysia dalam hidup saya,” kata Salil.

Hos rancangan tersebut, Meg Oliver dilihat terkejut dengan pendedahan itu kerana seorang yang tidak pernah merasai sendiri makanan asli di Malaysia boleh berjaya di New York dan seterusnya mendapat pengiktirafan bintang Michelin.

Dalam temu bual tersebut juga, Salil turut menunjukkan cara untuk membuat hidangan yang kelihatan seperti roti canai. Salah satu hidangan paling popular di menu restoran ialah ‘Dragon Breath Char Koay Teow’.

Bagaimana pula dengan rasanya?

Berdasarkan tinjauan ulasan daripada pengunjung restoran ini, ramai yang memuji kesedapan dan rasa hidangan di Laut. Namun, bagi seorang warga Malaysia yang pernah makan di sini, beliau berkata rasanya memang tidak sama seperti apa yang ada di Malaysia.

“Saya dari Malaysia. Saya berada di sini untuk mengunjungi rakan dan berniat mencuba restoran ini selepas membaca ulasan daripada pelanggan lain. Saya agak kecewa dengan makanan di sini. Tidak pasti sama ada mereka salah buat, Teh Tariknya memang tersangat manis, paling manis pernah saya minum sepanjang hidup. Laksanya tidak rasa seperti laksa, rasa ‘sweet chili crab’ tidak sepeti ‘chili crab’.

“Tetapi, saya puji kway teow gorengnya yang sedap dan juga rendang daging. Roti canai, sotong goreng dan satay sedap. Jika saya cuma makan semua ini (tidak menu yang awal), saya akan beri 5 bintang. Jika anda mahu cuba makanan authentic Malaysia, di sini ada cuma bukan semuanya,” tulis Sing Kiet Kong yang memberi rating 2/5 bintang untuk restoran Laut.

Kesimpulannya, rasa makanan di restoran ini telah disesuaikan dengan citarasa warga New York dan Salil lebih tahu apa yang mat saleh suka makan. Warga New York pasti terkejut jika merasai makanan tempatan sebenar jika melancong ke Malaysia kerana ia semestinya sangat berbeza dengan apa yang mereka makan di Laut.