Peminat bola sepak tanah air mencadangkan agar para pemain tempatan mengupah pengawal peribadi (bodyguard) untuk menjaga keselamatan diri dan ahli keluarga kemana-mana sahaja mereka pergi.

Ini kerana mereka bimbang kejadian yang berlaku terhadap dua pemain skuad Harimau Malaya, Faisal Halim dan Akhyar Rashid berulang lagi di masa depan.

Baca Juga:

Perkhidmatan pengawal peribadi sering digunakan oleh pemain bola sepak di luar negara seperti Sadio Mane, Lionel Messi, Ronaldo dan Neymar.

“Lepas Akhyar sekarang Faisal Halim. Apa toksik sangat komuniti bola sepak Malaysia. Padanlah pemain bola sepak luar negara pasang bodyguard,” kata seorang pengguna aplikasi X.

Pemain sudah tentu tidak mempunyai masalah dari segi kewangan untuk mendapatkan pengawal peribadi kerana mereka menerima pendapatan yang tinggi.

“Yang gaji besar tu carilah seorang bodyguard. Jadi, nak keluar tak perlu bimbang. Jenayah semakin menjadi-jadi di Malaysia,” komen seorang pengguna Facebook.

Pemain sayap pasukan Selangor FC, Faisal Halim dilaporkan menjadi mangsa simbah asid dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah sekitar Petaling Jaya, semalam.

Beberapa hari lalu, Akhyar Rashid cedera dipukul dengan sebatang besi boleh laras oleh dua lelaki dalam kejadian bermotifkan samun di bawah sebuah apartmen didiaminya di Kuala Terengganu, Terengganu.

Kejadian itu sudah tentu memberi kesan kepada negara kerana khidmat mereka kemungkinan disisihkan untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada bulan jun hadapan.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon perlu mencari pemain lain yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Faisal dan Akhyar.

Malaysia dijadualkan berdepan Kyrgyzstan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada 6 Jun sebelum menentang Taiwan pada 11 Jun.

Kemenangan amat penting untuk mendapatkan tiket automatik ke Piala Asia 2027 dan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.