Seorang lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan insiden simbah asid terhadap pemain kebangsaan, Faisal Halim di sebuah pusat beli-belah di Damansara, semalam.

Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan menurut laporan Harian Metro.

Baca Juga:

“Suspek adalah lelaki berusia 20-an dan akan direman hari ini.

“Pada masa sama, kami sudah merakam keterangan tiga individu termasuk mangsa (Faisal).

“Polis juga akan memanggil beberapa saksi bebas bagi membantu siasatan. Motif kejadian masih disiasat,” katanya.

Perincian lanjut berkenaan tangkapan itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Menurut Datuk Hussein, pihaknya juga sudah mengambil keterangan tiga individu termasuk mangsa dan akan memanggil beberapa saksi lagi untuk membantu siasatan.

Faisal kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan daripada sebuah hospital swasta di Selangor. Beliau juga terlepas aksi Piala Sumbangsih menentang JDT pada 10 Mei ini di Stadium Sultan Ibrahim.

Ini adalah kejadian kedua yang melibatkan seorang lagi pemain Harimau Malaya selepas Akhyar Rashid dipukul dan disamun sehingga menerima jahitan di kepala serta kaki pada khamis lepas.

Ia turut menyebabkan nama Akhyar dan Faisal kemungkinan disisihkan untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada bulan jun hadapan.

Kim Pan Gon perlu mencari pemain lain yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Faisal dan Akhyar.

Malaysia dijadualkan berdepan Kyrgyzstan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada 6 Jun sebelum menentang Taiwan pada 11 Jun.

Kemenangan amat penting untuk mendapatkan tiket automatik ke Piala Asia 2027 dan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.