Seorang peminat dilaporkan telah menceroboh bilik persalinan Manchester United untuk meletak alat perakam sebelum perlawanan di Aston Villa pada 6 oktober lepas.

Menurut laporan Mail Online, dia didakwa telah bersekongkol dengan kakitangan di Villa Park untuk meletakkan peranti perakam dua hari sebelum aksi Villa-Man United, yang berkesudahan keputusan 0-0.

Baca Juga:

Difahamkan beliau berbuat demikian kerana ingin mendengar perbualan antara pengendali Man United, Erik Ten Hag bersama para pemain.

Media British mendengar rakaman berkenaan tetapi memilih untuk tidak menyiarkannya.

“Ia melanggar aspek keselamatan dan timbul persoalan serius bagaimana ia boleh berlaku. Mujur tiada apa-apa yang buruk berlaku.

“Ia hanya satu gurauan, dari seorang peminat United yang hanya mahu mendengar apa yang diperkatakan dalam bilik berkenaan. Namun ia mencetus kebimbangan bagaimana mereka boleh masuk ke dalam bilik persalinan salah satu pasukan besar di Liga Perdana Inggeris beberapa hari sebelum perlawanan,” kata sumber.

Man United mengharungi permulaan terburuk mereka dalam kempen Liga Perdana Inggeris – menghuni tangga ke-14 dengan hanya lapan mata selepas tujuh perlawanan.

Ten Hag memberitahu media selepas perlawanan di Villa Park, yang dia sangat berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun dikritik hebat oleh para penyokong setia.

Man United bakal berdepan Brentford pada 19 oktober ini di Old Trafford dan mereka wajib menang untuk memperbaiki kedudukan liga.