Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini melaporkan telah memulakan siasatan berikutan aduan orang ramai tentang penularan video yang mempamerkan sekumpulan pencipta kandungan yang memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.

Menerusi hebahan terbaharu, MCMC memandang serius tindakan menghasil dan menyebar kandungan mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan, dan menimbulkan keresahan orang ramai.

“Penyebaran kandungan yang merendah atau menghina maruah individu bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat.

“MCMC menegaskan bahawa siasatan terhadap kandungan tersebut sedang dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.”

Oleh itu, orang ramai diingatkan agar tidak menyebar atau memuat naik sebarang kandungan bersifat provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Sebarang perkongsian kandungan jelik melampau, palsu atau berunsur ancaman boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 [Akta 588]. Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000, dipenjara maksimum dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, MCMC memaklumkan bahawa mereka komited dan tegas memastikan ruang siber tidak disalahgunakan sejajar dengan usaha mengekalkan kedaulatan undang-undang dan keharmonian masyarakat.