Di jalan raya mahupun di media sosial, kemunculan deretan kereta mewah sering kali mencuri tumpuan orang ramai.
Namun di sebalik gaya hidup serba eksklusif itu, rupa-rupanya masih ada pemilik kenderaan yang terlepas pandang atau sengaja mengabaikan kewajipan paling asas sebagai pengguna jalan raya.
Terbaharu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mendedahkan bahawa golongan kenamaan dan pempengaruh motivasi adalah antara individu yang ditahan di negeri itu atas kesalahan memandu kenderaan mewah tanpa cukai jalan serta perlindungan insurans yang sah.
Alasan Terlupa Dan Terlalu Banyak Kereta Tidak Lagi Laku
Dipetik dari Harian Metro, Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, apabila ditahan, pelbagai alasan cuba diberikan oleh pemilik kenderaan terbabit. Antaranya termasuklah mendakwa terlupa untuk memperbaharui insurans serta alasan memiliki terlalu banyak kenderaan sehingga tidak menang tangan menguruskannya.
Lebih mengejutkan, menurut beliau, terdapat juga segelintir individu yang berdepan masalah kewangan dan mempunyai rekod senarai hitam, namun tetap memilih untuk bergaya memandu kenderaan mewah setiap hari.

Antara model mewah yang berjaya disita pihak JPJ termasuklah BYD, Porsche, Toyota Vellfire, BMW, Mercedes dan banyak lagi.
Bagi Stien, apa jua alasan yang cuba diberikan hanyalah dalih semata-mata untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang.
“Namun apa jua alasan yang diberikan, pihak kami tidak akan berkompromi berikutan ia membabitkan undang-undang jalan raya.
Bagi kenderaan yang tidak mempunyai perlindungan insurans, ia akan memberi impak apabila berlaku kemalangan serta tuntutan yang akan dibuat selepas kemalangan itu berlaku.
“Ia akan menyukarkan pihak yang akan membuat tuntutan sekiranya tiada insurans bagi kenderaan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JPJ Kedah di Jalan Suka Menanti, hari ini.
Pempengaruh Motivasi Dan Golongan VIP Turut Terkantoi
Mengulas lanjut situasi di lapangan, Stien berkongsi bahawa pihaknya sebelum ini pernah menahan seorang pempengaruh motivasi berusia 30-an yang memandu kenderaan tanpa cukai jalan dan perlindungan insurans yang sudah tamat tempoh.
“Apabila ditanya, dia memberi alasan terlupa tetapi kita sita kenderaannya terlebih dahulu. Ada juga golongan very important person (VIP) juga memberi alasan sama, tapi kita tak terima kerana mereka melanggar undang-undang jalan raya,” jelasnya tegas.
Kenyataan itu sekali gus membuktikan bahawa penguatkuasaan di jalan raya tidak pernah memilih bulu, tidak kira sama ada pemandunya individu berpengaruh mahupun orang kenamaan.
Teknologi SmED Kesan Kesalahan Sepantas Kilat
Jika dahulu pemandu yang culas mungkin boleh menarik nafas lega selagi tidak melalui sekatan jalan raya secara fizikal, keadaan kini sudah jauh berbeza.
Stien menegaskan bahawa pegawai JPJ kini dilengkapi teknologi moden dikenali sebagai Smart Enforcement Device (SmED) sepanjang pelaksanaan operasi Ops Luxury.
Menerusi peranti pintar tersebut, anggota penguat kuasa mampu mengesan sebarang kesalahan kenderaan dengan jauh lebih pantas, terutamanya kes membabitkan ketiadaan cukai jalan, perlindungan insurans dan lesen memandu.
Lonjakan Kes Berbanding Tahun Lalu, Terus Ke Mahkamah
Statistik terbaharu turut menunjukkan peningkatan ketara terhadap kesalahan melibatkan kenderaan mewah di negeri berkenaan.
Sepanjang pelaksanaan Ops Luxury tahun ini, sebanyak 215 buah kenderaan mewah telah disita dengan majoritinya didapati tidak mempunyai perlindungan insurans dan cukai jalan.
“Jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 46 kenderaan pada tahun 2025. Bagi kenderaan yang disita kerana tiada perlindungan insurans dan cukai jalan, kes akan dibawa terus ke mahkamah,” katanya.
Peringatan tegas daripada JPJ Kedah ini wajar dijadikan pengajaran buat semua pemilik kenderaan.
Memiliki kereta mewah bukan sekadar soal gaya, tetapi hadir bersama tanggungjawab besar demi keselamatan dan hak pengguna jalan raya yang lain.