Bintang Liverpool, Mohamed Salah mengejutkan peminat bola sepak dari seluruh dunia apabila muncul dengan penampilan baharu di media sosial.

Dia memulakan era baharu dengan menggayakan rambut pendek dan membuang terus rambut afronya.

Baca Juga:

Salah dan rakan sepasukan Liverpool sedang bercuti dan tiada hantaran percutian paling mengejutkan peminat The Reds selain hantaran Salah kelmarin.

Pemain dari Mesir itu menggunakan laman Instagram untuk berkongsi foto dia bergaya di depan cermin sebuah hotel dengan menambah emoji ‘berpeluh.’

Di sebalik lampu yang tidak cerah, peminat pantas mengenal pasti perubahan ketara gaya penampilannya.

Hantaran itu kini mendapat lebih 1 juta likes selepas dua hari dengan beribu-ribu komen mengenai gaya rambut baharunya.

Ada peminat berpendapat ia adalah era baharu Salah selepas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp meninggalkan pasukan tersebut.

Salah menyertai Liverpool pada Jun 2017, dua tahun selepas Klopp mengambil alih kelab – dan menjadi salah seorang penjaring terhebat Liga Perdana Inggeris.

Bersama Klopp, mereka memenangi Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2019, gelaran Liga Perdana Inggeris pada tahun berikutnya, serta lima kejuaraan domestik dan antarabangsa.

Salah meledak 32 gol pada musim pertamanya, memecahkan rekod gol terbanyak dalam kempen yang menampilkan 38 perlawanan, dan keseluruhan 211 gol sepanjang berada di Merseyside.

Liverpool mengesahkan bos Feyenoord, Arne Slot akan menggantikan Klopp bermula 1 Jun ini, dan dilaporkan untuk kontrak tiga tahun.

Salah, Trent Alexander-Arnold dan Virgil van Dijk antara bintang-bintang Liverpool yang masih berbaki setahun di dalam kontrak mereka, dan belum dapat dipastikan sama ada mereka akan menjadi sebahagian daripada perancangan jangka panjang Slot di Anfield