Family Mart merupakan salah satu kedai serbaneka dari Jepun yang sudah bertapak lama di Malaysia dan semakin berkembang kerana permintaan warga tempatan yang tinggi pada saban hari.

Dengan penawaran pelbagai aneka makanan dan manisan berasal dari Jepun pada harga mampu milik, tidak hairanlah ada sesetengah rakyat dari Kelantan mahukan jenama Family Mart untuk melebarkan sayap perniagaan ke wilayah Pantai Timur Malaysia itu.

Hampir sedekad menanti ketibaan

family mart
Sumber Gambar: Kl Foodie

Nampaknya penantian selama 9 tahun bakal berakhir apabila sudah kecoh di media sosial tentang hebahan kemasukan Family Mart ke negeri Kelantan baru-baru ini.

Perkara ini menjadi bualan hangat di kalangan netizen dari negeri itu kerana beredar satu poster pencarian pekerja untuk beberapa cawangan baharu yang dipercayai bakal dibuka tidak lama lagi.

Tiga lokasi kedai Family Mart di Kelantan

family mart
Sumber Gambar: FB

Terdapat tiga lokasi utama yang bakal menjadi tapak lokasi untuk kedai Family Mart baharu di Kelantan adalah Tunjung, Wakaf Che Yeh dan Gua Musang.

Di dalam poster iklan berkenaan, Family Mart sedia menawarkan sejumlah pekerjaan yang merangkumi pengurus outlet, pembantu pengurus outlet, penyelia dan pembantu outlet dengan gaji bermula RM2,320 sehingga RM5,880.

Mereka yang berminat pula diminta hadir temuduga terbuka yang diadakan pada 19 Mac dan 20 Mac 2025 di Dewan Cik Siti Wan Kembang.

family mart
Sumber Gambar: FB

Menelusuri hantaran yang tular, rata-rata rakyat Kelantan menyambut berita itu dengan perasaan gembira kerana mereka juga berpeluang mendapatkan makanan atau manisan yang diminati di Family Mart di negeri mereka sendiri.

Malah, ramai yang berkongsi di status yang mereka tidak sabar mahu menyerbu outlet baharu yang disenaraikan itu sebaik ia mula dibuka secara rasmi kepada orang awam kelak.

“Habis laah poket I dia buka di Wakaf Che Yeh, hari-hari lah gi sana,” komen seorang netizen bernama Ara Li.

“Harap-harap berita ni tak sampai ke bini saya la,” berseloroh akaun Ahmad Uzair Zulkifli.

“Lepas ni pakat pergi Family Mart dekat Tunjung je dekat,” kongsi akaun Dhiya Sakura II.

Ada juga yang melihat ini satu perkembangan yang bagus untuk warga setempat kerana membuka peluang pekerjaan baharu dengan gaji lumayan sekaligus meningkat taraf hidup anak muda di sana.

Tidak kurang juga, ada yang berseloroh mengatakan ini merupakan satu bukti yang menandakan negeri Kelantan sudah berada dalam kemajuan.