Ekspedisi seorang pendaki solo dari Crotia, Mauro Persic di Gunung Kinabalu bertukar menjadi detik cemas dan perjuangan hidup mati selama lapan hari, sebelum dia berjaya diselamatkan menerusi operasi penyelamatan berskala besar berhampiran rabung timur puncak berkenaan.
Mauro kongsikan detik-detik cemas selama lapan hari itu menerusi satu hantaran Facebook.
“Saya menyusuri alur Sungai Mesilau untuk menakluki puncak tanpa laluan denai biasa. Peta satelit menunjukkan ini jalan mudah, tetapi reality di atas tanah jauh berbeza. Cerun licin, pokok renek berduri, dan dinding batu granit yang tegak menanti saya. Setiap langkah adalah pertaruhan antara hidup dan mati.
“Pada hari kelima, kesilapan terbesar saya berlaku di kawasan Red Rock. Permukaan granit berlumut kering gagal menampung berat badan saya. Saya tergelincir dan terjatuh sejauh 10 meter ke dasar gaung. Kesakitannya luar biasa. Tumit kanan saya membonjol dan berdarah teruk, betis berlubang, tulang rusuk dan bahu terasa retak, dan kepala saya terhentak. Dalam keadaan menggigil dan sesak nafas, saya menyedari satu hakikat: saya tidak akan mampu keluar dari sini secara bersendirian.
“Dengan sisa tenaga dan liputan selular yang sangat lemah, saya berjaya menghantar koordinat lokasi sebelum talian terputus,” kongsi Mauro.
Menurutnya, dua hari seterusnya adalah penyiksaan fizikal dan mental. Tanpa makanan, hanya berbekalkan air titisan batu, saya terperangkap di celah batuan sempit. Lukanya mula dihurungi lalat dan berulat, dan pada hari ketujuh, kepala air tiba-tiba meluncur deras menembusi gaung.
Beg tidur yang dibawanya telah dihanyutkan dalam sekelip mata. Selama dua jam, Mauro bergantung hidup hanya pada sepotong tali sling kecik yang disangkut pada celah batu. Hujan lebat, halusinasi, dan dorongan untuk melepaskan genggaman hampir meragut nyawanya.
“Pada pagi hari kelapan, penyelamat pertama dari MOSAR, Luis Jai Matuas, muncul membawa minuman panas dan biskut. Wajahnya adalah pemandangan paling indah selepas lapan hari keseorangan.
“Operasi menyelamat yang menyusul melibatkan sekitar 40 anggota penyelamat yang bekerja tanpa henti. Mereka menaikkan saya menggunakan sistem tali di cerun curam 4,000 meter, berkhemah di bawah langit malam, dan mengusung saya merentasi Laluan Bowen yang sangat teknikal.
“Detik yang paling menyentuh hati—sekaligus menyayat hati saya—ialah apabila tiba di laluan awam Laban Rata. Saya tidak lagi mampu melangkah, memaksa juruangkut (porter) tempatan mendukung saya di belakangnya (piggyback).
“Salah seorang juruangkut yang mengendong saya baru berusia 15 tahun. Setiap hentakan kakinya menampung berat badan saya merobek perasaan saya; rasa malu dan serba salah menyelubungi diri, namun ia mengajar saya untuk tunduk, menjadi kerdil, dan menerima bantuan orang lain.
“Adakah semua ini berbaloi? Tubuh saya hancur dan lapan hari itu hampir meragut nyawa saya. Namun, di atas dataran dingin Gunung Kinabalu, di antara nyalaan api unggun dan ihsan 40 insan asing yang mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan saya, saya menemui sisi terbaik kemanusiaan,”