Banjir yang menimpa Kelantan kini menjadi semakin buruk apabila akses kepada air bersih di beberapa bahagian negeri itu telah menyukarkan mangsa banjir. Ini memaksa sebilangan mangsa banjir di Kampung Tasek Bakong, Rantau Panjang, Kelantan memasak air banjir untuk kegunaan harian.

Mereka tidak mempunyai pilihan lain kerana makanan semakin terhad, dan mereka tidak dapat meninggalkan rumah kerana paras air semakin meningkat.

Harian Metro melaporkan, seramai 62 mangsa di Rantau Panjang terpaksa menggunakan air banjir berikutan kehilangan bekalan air bersih sejak 3 hari lalu. Memandangkan semua jalan keluar masih tidak dapat dilalui, dan dengan anak-anak yang kehausan, mereka terpaksa menyediakan susu untuk anak-anak mereka menggunakan air banjir.

Salah seorang mangsa berkata dia sedar bahawa air banjir yang dimasak bukan idea yang baik, tetapi keadaan semasa menyebabkan mereka tiada pilihan.

“Air ini juga kami gunakan untuk memasak secara bergotong-royong. Besar harapan kami supaya ada pihak yang masuk untuk menghantar bantuan air bersih buat kami di sini.

“Kami tahu kawasan penempatan ini agak sukar diakses, oleh itu kami mencari ikhtiar lain terlebih dahulu dengan hanya tawakal sahaja semoga air yang diminum tidak memudaratkan.

“Semua mangsa berkumpul di rumah milik salah seorang penduduk yang tidak dimasuki air tetapi halamannya tetap digenangi banjir separas 0.5 meter,” katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, mangsa banjir di Kelantan mencatatkan penurunan kepada 30,143 orang berbanding seramai 32,089 orang mangsa pagi ini, susulan cuaca di kebanyakan daerah semakin baik sejak semalam.

Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 1,946 mangsa.