Sejurus dibebaskan oleh tentera Israel, aktivis Global Sumud Flotilla, Greta Thunberg, mengutuk pemimpin dunia kerana tidak bertindak untuk menegakkan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

Dalam video yang dimuat naik di akaun Instagramnya, Greta menyatakan bahawa penahanan dirinya menunjukkan pemimpin global telah gagal menjalankan tanggungjawab mereka.

“Mereka sering bercakap tentang pentingnya mempertahankan undang-undang antarabangsa serta memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza. Namun apabila kami cuba melaksanakan perkara itu secara aman dan sah, mereka gagal menjamin keselamatan kami.”

Greta Thunberg (gadis berusia 22 tahun itu) menegaskan bahawa isu penahanan dirinya dan aktivis lain tidak boleh digunakan untuk melupakan krisis yang masih membelenggu Gaza.

“Kami bukan cerita utama. Ribuan rakyat Palestin ditahan tanpa bicara, ratusan daripadanya kanak-kanak. Jutaan pula hidup terperangkap di bawah kepungan dan penindasan yang menafikan hak paling asas — daripada menghasilkan makanan sendiri sehinggalah ke sekolah,” katanya.

Sambil menegaskan bahawa krisis kemanusiaan di Gaza adalah masalah sistematik dan bukan sekadar akibat konflik terbaharu, Greta mendakwa bahawa masyarakat antarabangsa tidak berupaya menghentikan pencabulan hak asasi manusia yang jelas, dengan ada pihak yang turut memberi pengesahan secara tersirat melalui keengganan untuk bersuara.

“Seluruh dunia tahu ini tidak bermula pada Oktober 2023. Jenayah perang berlaku dengan keizinan institusi dan kerajaan yang sepatutnya mempertahankan undang-undang antarabangsa,” ujar aktivis kental itu.

“Apa yang dilakukan Israel bukan sekadar menahan kami di perairan antarabangsa, tetapi menghentikan misi kemanusiaan yang membawa makanan, ubat dan susu bayi — keperluan asas untuk penduduk yang sedang kebuluran,” katanya lagi.

Greta Thunberg mengecam negara-negara maju kerana bersikap hipokrit—walaupun kerap melaungkan janji untuk menegakkan hak asasi manusia, mereka tidak mengambil tindakan apabila prinsip itu benar-benar dicabar.

“Apabila kami cuba melaksanakan apa yang mereka laungkan — memastikan bantuan sampai ke Gaza secara aman dan sah — mereka gagal melindungi kami. Misi ini tidak sepatutnya wujud jika kerajaan benar-benar menjalankan tanggungjawab mereka,” ujarnya.

Dalam kenyataannya selepas dibebaskan daripada penahanan tentera Israel, aktivis Greta Thunberg menolak sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan pasukannya, Global Sumud Flotilla (GSF), dengan mana-mana kumpulan bersenjata.

Beliau menegaskan bahawa misi mereka adalah berasaskan nilai kemanusiaan sejagat, sambil berkata, “Kami bukan ejen mana-mana pihak, bukan pengganas.

“Kami hanya membawa bekalan untuk mereka yang sedang lapar dan dizalimi.” Greta menyindir hipokrasi global terhadap istilah ‘keganasan’ dengan menyatakan bahawa jika tindakan kemanusiaan sebegini dianggap keganasan, “dunia ini telah kehilangan arah.”

Aktivis berusia 22 tahun itu juga lantang mengkritik dwi-standard dalam menegakkan keadilan, dengan menegaskan bahawa setiap nyawa manusia mempunyai nilai yang sama tanpa mengira bangsa atau agama.