Pengadil wanita terkenal dari Jepun, Yoshimi Yamashita bakal mengadili perlawanan Piala Asia 2023 lelaki buat kali pertama di Qatar yang bermula pada 12 Januari ini.

Yamashita sebelum ini dipilih mengendali perlawanan Piala Dunia lelaki 2022 di Qatar, disenaraikan bersama empat pengadil wanita lain bagi kejohanan itu.

Baca Juga:

“Buat pertama kalinya, pegawai perlawanan wanita bersedia untuk membuat penampilan sulung mereka pada pertandingan pasukan kebangsaan lelaki paling berprestij di Asia,” kata Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan.

Pengadil terkemuka dan berpengalaman, Alireza Faghani turut akan mengadili beberapa perlawanan Piala Asia 2023 bersama Abdulrahman Al Jassim dari Qatar yang merupakan pengadil utama ketika perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2022.

Selain itu, tiga pengadil Malaysia turut dipilih menyertai 35 pengadil dan 39 penolong pengadil untuk bertugas mengadili perlawanan sepanjang kempen Piala Asia 2023.

Mereka ialah Muhammad Nazmi Nasaruddin serta dua penolong pengadil, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd. Ketiga-tiga pengadil ini memiliki lesen FIFA.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin menggesa Nazmi dan dua penolongnya itu supaya menampilkan prestasi terbaik di Piala Asia 2023 kerana ini medan untuk memilih pengadil bertugas pada Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

“Jadikan pentas Piala Asia 2023 ini sebagai medan terbaik untuk anda bertiga terpilih dalam kalangan 10 set pengadil dari Asia layak ke Piala Dunia 2026 yang mana peluang untuk mencipta sejarah pengadil Malaysia mengadili perlawanan Piala Dunia lebih cerah kerana penyertaan 48 pasukan buat kali pertama.

“Saya pasti anda bertiga sudah membuat persiapan secukupnya dan kekal fokus di sepanjang Piala Asia 2023 ini. Perlu bekerja keras dan mengadili perlawanan sebaik mungkin. Kami mendoakan supaya set pengadil dari Malaysia ini terpilih ke Piala Dunia 2026,” kata Datuk Haji Hamidin.

Bagi menjaga prestij kejohanan dan meningkat mutu pengadilan, sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) akan dilaksanakan sepenuhnya dalam semua perlawanan bermula daripada peringkat kumpulan hingga perlawanan akhir.