Memandang sebulan lagi Abe nak tinggalkan syarikat Abe yang Abe cintai, Abe sambunglah balik kisah hidup Abe agar Abe akan sentiasa ingat di hati ini. Awas, panjang!
Dalam bidang servis minyak dan gas, setiap jurutera baru akan bermula dengan pangkat trainee atau pelatih. Antara Nov 2007 dan Ogos 2008, Abe menjadi trainee. Kerja trainee ni ialah ikut sahaja apa yang mentor anda buat.
Elaun trainee Roxar kalau keluar ke laut atau darat tempat pelanggan dikira door to door. Sebaik sahaja Abe berangkat meninggalkan rumah ke airport, elaun akan berjalan. Sebagai trainee Abe dibayar RM xxx sehari.
Biasanya sebulan Abe akan kerja selama 8-12 hari. Bolehlah buat bayar ansuran dua biji Myvi. Jadi setiap trainee bercita-cita untuk disahkan taraf menjadi Field Service Engineer. Field itu bermakna lapangan atau tempat pelanggan, seperti di yard, atau di laut.
Kenapa nak naik pangkat? Sebab bila anda naik pangkat, elaun anda pun naik 4 kali ganda. Kalau anda kerja overtime, anda dapat lagi 50%. Ini kadar zaman dulu-dululah. Sekarang dah lain dah. Sekarang lagi masyuk.
Ujian Terakhir Sebagai Pelatih
Pada Ogos 2008, sebaik sahaja Abe pulang dari platform ExxonMobil Lawit di Terengganu, boss Abe Frodo arahkan Abe berkemas ke Sakhalin Rusia. Cuak jugalah Abe masa tu.
Kata Frodo, tugas ini payah sedikit, tapi kalau Abe berjaya selesaikan pemasangan alat itu, Abe akan di ‘certified’ sebagai Field Service Engineer (FSE). Abe pun berkemaslah dan tempah tiket melalui ejen. Bila Abe tengok tiket tu, Abe rasa nak pengsan.
Abe dikehendaki terbang dari KLIA ke Moscow. Kemudian Abe kena dapatkan permit kerja di Moscow, tinggal di sana dua hari, kemudian terbang ke timur di Pulau Sakhalin.
Punyalah letih Abe kena terbang 9 jam ke Moscow. Bila sampai sana Abe jet lag sebab masa di Moscow berbeza dengan masa di KL.
Melancong Di Moscow
Rusia ni negara yang besar dan megah. Orang Rusia ni anti betul dengan orang Amerika. Jadi Abe buat-buat senyaplah. Abe tak berani cakap Abe dulu belajar kat Amareka. Ada yang kena gantung kat Moscow nanti.
Bandar Moscow sangatlah besar. Dia punya tren station jauh ke dalam bumi. Katanya untuk pertahanan bom atom masa perang dingin. Ye ke ni? Tapi cantiklah Moscow ni. Mahallah juga harga makanan dan hotel kat situ. Tak ingat punya.
Mujurlah kat opis Roxar Moscow, adalah seorang jurutera Islam ni. Dia pun bawaklah Abe pusing-pusing bandar Moscow. Yang kelakarnya, semua orang nama Alex. Alex ni agaknya macam Ahmad kot kat Rusia.
Terbang Ke Sakhalin
Bila Abe dah dapat permit kerja, Abe pun pergilah ke airport Moscow. Di airport tu, terkejut Abe tengok macam-macam jenis muka manusia. Sebab Rusia ni kan penjajah yang power, ada satu keluarga macam Mongolia ni kat airport. Abe perati je muka anak gadis ni.
Kesian dia. Kecik-kecik dah buta. Mata tertutup rapat. Kesian. Kemudian datanglah bapak dan mak dia. Ya Allah! Bukannya buta! Rupanya mata mereka memang sepet camtu!
Sakhalin ni terletak di Utara Jepun. Terbanglah Abe 8 jam ke arah timur. Gila, rasa hancur body clock Abe.
Sampai Di Yuzhno
Sakhalin ni letaknya di utara Jepun tapi dijajah Rusia. Semasa perang dunia kedua, Jepun pegang pulau tu. Maka dibawanya Jepun banyak hamba abdi dari Korea sebab Korea masa tu negara jajahan Jepun.
Pelik Abe bila jumpa orang muka Korea tapi cakap Rusia. Tapi kan, I would say, awek-awek Rusia ni sungguh manis-manis belaka. Terpesona jap Abe. Mujur Abe sayang bini.
Abe tiba di Yuzhno iaitu ibu negeri Sakhalin. Bila Abe tiba di airport, Abe ada masalah sikit. Abe tanyalah peramugari. Ya Allah. Kasar gila orang Rusia ni. Memang fail PR. Menjerit-jerit macam beruang. Patutlah di Amareka, orang kata orang Rusia ni keturunan beruang. Racist siut.
Keretapi Zaman Perang Yang Mengerikan
Untuk ke destinasi kerja, Abe kena naik keretapi keesokkan harinya. Sukalah Abe sebab ini pertama kali Abe naik kereta api. Tapi meleset sekali tekaan Abe. Kereta Api tu cam haram! Rupanya kereta api tu kereta api zaman perang dunia kedua!
Nak tidur susah. Dahlah mat salleh kuat berdengkur. Perjalanan pula 14 jam! Stress Abe. Abe masih ingat malam tu Abe sakit perut. Abe pun pergilah ke tandas. Abe pun nak melepaslah kan? Bila Abe nak flush, barulah Abe perasan Abe nampak trek keretapi melalui lubang jamban? What? Abe flush terus jatuh atas trek? Ewww!
Sampai Di Laut
Keretapi tu berhenti di pelabuhan. Selepas tu Abe pun naik bot. Sebelum naik bot ada imigresen Rusia. Bapak besar badan mereka! Siap ada anjing penghidu dadah. Anjing pun besar gila! Apa benda orang Rusia ni makan? Sekor-sekor macam undertaker wrestler tu. Besar gila.
Lepas tu pegawai tu tengok permit Abe. Dia cakap dalam bahasa English yang hancur. Ini permit salah! Dengan nada dialek Rusia dia pun cakap “Welcome to Russian Prison”.
I was like. What? Apa salah aku? Pastu pegawai tu cakap. I am just joking. Joking kepala hangguk hang! Abe dah pucat lesi dah masa tu.
Lawatan Kedua
Kerja pemasangan barang Roxar ni dua kali. Abe berjaya pada lawatan pertama dan naik pangkat. Tapi Abe diminta datang balik pada Februari 2011.
Lawatan 2008 dahulu semasa musim Summer. Cunlah kan. Lawatan kedua, masih naik keretapi tapi kini musim salju. Di lautan, Abe terkejut tengok lautan itu dah jadi ais. Jadi Abe kena naik helikopter.
Suhu? Negatif 53 darjah Celcius! Gila sejuk. Abe boleh keluar ke well bay area dalam masa 15 minit sahaja. Kalau lama sangat boleh mati kesejukan. Gila sejuk! Tapi Abe takkan lupakan Abe tengok anjing laut bermain-main atas bongkah ais. Cantik pemandangannya.
Platform Yang Hebat
Di Lunskoye A, nama platformnya memang hebat. Siap ada internet! Zaman tu kalau platform ada internet kira habis hebat dah. Lepas tu tukang cuci bilik awek Rusia. Wow! You see kat platform Malaysia punyalah susah nak cari awek atas platform. Bila dah sebulan kat laut korang tengok bantal pun macam awek dah. Kepala dah tak betul.
Tsunami
Tiba-tiba Abe tengok TV. Katanya berlaku gempa bumi di Jepun dan tsunami melanda. Kami diberitahu supaya bersiap sedia sekiranya Tsunami melanda platform tu.
Cuak jugalah Abe. Abe pun telefonlah isteri tersayang. Cakap kalau apa-apa jadi pada Abe, jagalah anak-anak kita baik-baik. Syahdu sekali. Isteri Abe mendoakan keselamatan Abe tapi dia tambah satu lagi berita sedih. Isteri Abe kata doktor dah sahkan bapa mertua Abe menghidapi kanser paru-paru dan cuma ada 3 bulan lagi untuk bertahan.
Terganggulah juga emosi Abe masa tu. Yelah, bapa mertua Abe tu Abe sayang sekali. Kita pula jauh di lautan negara orang. Perkara macam inilah yang boleh mengganggu konsentrasi dan keselamatan kerja di lautan.
Moral Of The Story
Kerja Roxar ni memang best. Boleh melancong seluruh dunia. Sebab itulah bila isteri Abe ajak melancong, Abe rasa macam malas je.
Rusia ni negara yang hebat tapi orangnya kasar macam beruang. Diaorang tak ada industri pelancongan ke? Tahu tak cara nak senyum? Serius je memanjang.
Platform luar negara memang lagi hebat dari platform Malaysia. Kat Malaysia platform macam kandang kambing. Di sesetengah platform siap ada sistem kasta.
Kalau masa makan, geng-geng baju warna spesel akan makan dulu. Kalau geng-geng baju warna lain tersalah masuk kantin, dipandangnya kita semacam je macam kita ni peminta sedekah. Sad but true.
Bilik dahlah macam kandang kambing. Jamban takyah cakaplah, nak muntah Abe tengok. So third world country.
Namun, kenangan indah Abe masih lagi di platform Petronas Angsi Bravo. Abe akan ceritakan di lain hari. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anak-anak muda yang nak bekerja sebagai pelaut moden.