Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu telah memutuskan memendekkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada enam tahun.

Memetik kenyataan rasmi, tarikh beliau akan dibebaskan adalah pada 23 Ogos 2028. Manakala jumlah denda pula dikurangkan kepada RM50 juta.

Baca Juga:

Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berkata, sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

“Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas Yang Berbahagia Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

“Oleh yang demikian, Yang Berbahagia Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta,” katanya.

Menerusi kenyataan rasmi itu lagi, sekiranya Najib tidak membayar denda tempoh penjara akan ditambah selama setahun dengan tarikh pembebasan  adalah pada 23 Ogos 2029.

Sumber