Seorang penganggur hari ini dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur kerana merompak wang tunai RM50 milik seorang lelaki di sebuah tempat letak motosikal dengan menggunakan sebilah pisau, minggu lepas.

Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu selepas M. Krishnamurthi, 49, mengaku bersalah merompak Chai Fuh Chang, 43, di tempat letak motosikal MRT Jinjang di Kuala Lumpur pada 11.55 pagi, 7 Dis lepas.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 7 Dis lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius dilakukan tertuduh yang menggunakan pisau sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa.

Krishnamurthi yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan kerana telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

– Bernama