Penganjur konsert ‘Choii Underground Music Tour Kedah 2.0’ telah meminta maaf secara terbuka setelah dianggap tidak sensitif kerana mengadakan konsert itu pad malam Nisfu Syaaban.

Penganjur konsert Faris Azrii berkata, isu tersebut berlaku kerana mereka terlepas pandang tentang perkara itu. Namun dia menyatakan bahawa sebelum memulakan konsert itu, mereka ada mengadakan selawat terlebih dahulu.

Baca Juga:

Dia menafikan bahawa selawat itu hanya beberapa minit sahaja sebaliknya mereka mengadakan selawat hampir sejam menurutnya.

Dipetik dari Sinar Harian: “Apa yang berlaku ini memang tidak melibatkan mana-mana badan kerajaan dan memang salah pihak kami. Tidak melibatkan mana-mana kerajaan dan saya betul-betul mohon maaf kepada kerajaan Kedah.

“Tentang isu terkinja-kinja dan melompat-lompat itu juga saya mohon maaf kerana saya membawa hip-hop ke bumi Kedah tapi ini kejadian pada hari Jumaat bukan Sabtu [malam Nisfu Syaaban]. Tapi kita juga adakan konsert pada Sabtu dan itu kesalahan di pihak kami juga.”

@farisazrii

Permohonan maaf daripada saya mengenai isu di Negeri Kedah …

♬ Cap – burrell

Faris menegaskan bahawa sebagai anak muda, dan usahawan, dia juga tak terlepas daripada melakukan kesilapan. Sambil menyatakan bahawa kesilapan kali ini benar benar tidak disengajakan.

Pihak Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, menafikan bahawa kerajaan memberikan permit untuk penganjuran konsert itu di Taman Jubli Emas pada malam Nisfus Syaaban.

Permit yang dikeluarkan adalah untuk acara lain. Mansor mendedahkan bahawa pihak penganjur konsert mengemukakan permohonan kepada mereka, namun tidak menyatakan bahawa acara itu adalah konsert atau pertunjukan pentas.

Dalam permohonan mereka, penganjur menyatakan mereka mahu mengadakan karnival jualan dan acara yang dibenarkan oleh kerajaan mengikut garis panduan.

Oleh sebab itu pihak exco kerajaan memberikan permit kepada penganjur acara konsert pada malam Nisfu Syaaban itu di Kedah.

Mansor menambah: “Justeru penganjuran konsert adalah tanpa kebenaran mana-mana agensi kerajaan negeri dan ini adalah satu pelanggaran syarat yang sangat serius oleh pihak penganjur.

“Kerajaan negeri akan memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan berkaitan dengan perkara ini dan akan memutuskan tindakan susulan mengikut undang-undang selepas itu.”

Kerajaan Kedah sangat kecewa dengan tindakan penganjur yang dikecam oleh netizen di media sosial. Malah kerajaan Kedah turut menerima tempiasnya.

Mansor juga mengesahkan bahawa mana mana pihak yang melanggar syarat serta kelulusan untuk menganjurkan sesuatu acara, maka mereka akan disenarai hitam oleh negeri selepas ini.