Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan hampir 500,000 pengguna di Kelantan mempunyai bil elektrik tertunggak berjumlah lebih RM200 juta setakat Jun lalu.

Kementerian itu memaklumkan bahawa seramai 492,174 pemegang akaun elektrik di Kelantan secara keseluruhan berhutang RM229 juta dalam bil tertunggak kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), dengan tunggakan tertinggi datang daripada pengguna domestik iaitu 411,780 akaun melibatkan jumlah RM114 juta.

Baca Juga:

Ia diikuti oleh pengguna bukan domestik (komersial dan industri) dengan 80,196 akaun tertunggak berjumlah RM53 juta, petik The Star.

Baki tunggakan bil elektrik adalah daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), melibatkan 198 akaun dengan jumlah tunggakan RM61 juta.

Tunggakan bil TNB di Kelantan mengecil

Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Parlimen bertarikh 7 Ogos memaklumkan bahawa secara keseluruhan, tunggakan bil elektrik di negeri itu mencatatkan pengurangan kecil sebanyak RM4.33 juta sejak Disember.

Ia menyatakan bahawa jumlah tunggakan yang tinggi sebahagiannya berpunca daripada penyewa yang berpindah meninggalkan kediaman, lalu bil tertunggak terpaksa ditanggung oleh pemilik rumah.

“Petra dan TNB kekal komited untuk membantu pengguna menyelesaikan tunggakan mereka melalui pendekatan mesra pelanggan, termasuk menawarkan pelan ansuran fleksibel.”

“Tindakan penguatkuasaan seperti pemotongan bekalan hanya dilakukan sebagai langkah terakhir selepas semua rundingan gagal,” katanya.

Hampir 500,000 Pengguna Di Kelantan Berhutang TNB Lebih RM200 Juta
Sumber Gambar: X.com @JapenKelantan

Memetik laporan itu lagi, Kementerian itu menasihatkan pengguna yang terlibat supaya segera menghubungi TNB bagi membincangkan penyelesaian pembayaran dan mengelakkan pemotongan bekalan atau tindakan undang-undang.

Kementerian itu juga memaklumkan bahawa pihaknya akan terus mempergiatkan kempen kesedaran untuk menggalakkan pembayaran bil secara konsisten serta meningkatkan kefahaman mengenai tanggungjawab pengguna terhadap bil masing-masing.

“Kerjasama dan rasa tanggungjawab daripada semua pihak adalah penting bagi memastikan isu tunggakan bil elektrik dapat dikawal.

“Usaha bersepadu antara pengguna, pihak berkuasa tempatan, pemilik hartanah dan TNB akan membantu memastikan sistem tenaga negara kekal stabil, mampan dan adil untuk semua,” katanya.

Zahari Kechik (IND-Jeli) ingin mengetahui jumlah pengguna di Kelantan yang mempunyai tunggakan bil elektrik.

Sumber