Penjaga gol Argentina, Emiliano ‘Dibu’ Martinez mengakui bahawa beliau telah beraksi dalam keadaan menanggung kesakitan pada tangan kanannya sepanjang kempen Piala Dunia 2026.

Hal ini kerana beliau memilih untuk menangguhkan pembedahan yang disyorkan semata-mata bagi memastikan dirinya dapat beraksi dalam kejohanan tersebut.

Martinez mengalami keretakan pada jari manis tangan kanannya pada 20 Mei ketika sedang memanaskan badan menjelang perlawanan akhir Liga Europa bersama Aston Villa menentang Freiburg.

Pengorbanan Besar Dibu Martinez

Pengorbanan itu jelas berbaloi buat penjaga gol Aston Villa tersebut selepas pasukannya akan beraksi di pentas final pada awal pagi nanti bertemu juara eropah, Sepanyol.

“Tidak, ia masih sakit setiap hari. Saya memang tahu ia akan sangat menyakitkan. Saya memilih untuk tidak menjalani pembedahan,” kata Martinez menurut sumber laporan ESPN.

“Semua pakar yang saya rujuk memberitahu bahawa saya perlu menjalani pembedahan. Jika tidak, saya tidak akan dapat bermain.”

“Sepanjang saingan peringkat kumpulan, saya tidak dapat menjalani latihan bersama pasukan dan ia benar-benar memberi kesan kepada saya kerana latihan adalah sesuatu yang saya sangat gemari.”

“Namun selepas perlawanan menentang Mesir, saya kembali berlatih seperti biasa dan kini saya berasa jauh lebih baik.”

Walaupun berdepan kecederaan itu, Martinez tetap diturunkan sebagai penjaga gol utama Argentina dalam setiap perlawanan sepanjang Piala Dunia 2026.

Malah, beliau turut mencatat dua aksi tanpa bolos pada peringkat kumpulan apabila membantu Argentina menewaskan Algeria 3-0 dan Austria 2-0.

“Sehingga dua hari sebelum perlawanan pertama, saya hanya bermain menggunakan sebelah tangan. Saya kelihatan seperti hanya mempunyai satu tangan.”

“Sekarang, selepas terus bermain dan berbincang dengan ramai pihak, saya sedar semuanya lebih kepada faktor mental.”

“Kecederaan itu langsung tidak lagi menjejaskan saya. Saya juga tidak mahu menjadi watak utama dalam skuad kebangsaan,” kata Martinez lagi.

Sumber