Pulau Pinang adalah antara wajah Malaysia yang terkenal dengan budaya dan makanan yang enak. Tidak lupa juga pemandangan pantai dan bukit bukau yang terdapat di sana telah berjaya menarik puluhan ribu pelancong setiap tahun.
Namun dalam satu bandar yang membangun, pasti ada kisah gelap yang tercoret di lorong-lorong yang tidak mendapat perhatian rakyat Malaysia. Dan itulah yang cuba disampaikan oleh Hahn Zulkifli, seorang pencipta kandungan daripada Pulau Pinang, yang mengfokuskan kerjanya dengan bercerita mengenai kemanusiaan.
Beberapa hari lalu, Hahn berkesempatan melawat ke salah satu flat yang terdapat di sana. Dia hadir untuk memberi bantuan kepada salah sebuah keluarga yang terputus bekalan makanan akibat PKPB. Dia akui, luluh dan sedih hati apabila melihat keadaan kawasan tempat tinggal terbabit.
“Sampai saja saya di laluan masuk, luluh hati saya melihat situasi yang saya tak jangka akan lihat di Malaysia. Gelap, depresif dan klaustrafobik. Laluan kanan-kiri penuh dengan sampah dan limpahan air dari tingkat atas. Lorong-lorong kaki lima gelap dan berbau hanyir.
“Terdapat 3 lif dan yang berfungsi cuma satu. Lif yang berfungsi itu hanya boleh sampai ke beberapa tingkat disebabkan butang lif sudah rosak. Semua terpaksa berhimpit dalam lif dan yang paling gerun adalah kita boleh dengar bunyi tali lif bergesek menarik naik penumpang,” katanya kepada The Vocket.
Katanya, situasi ini tak tumpah seperti Kowloon city yang dia pernah tengok dalam foto-foto lama, ironinya tempat ini masih wujud dan begitu dekat dengan kita.
Ketika ditanya, apakah harapannya untuk orang-orang di kawasan ini. Dia menjawab, “Harapan saya semoga penguasa tidak berputus harap pada golongan ini. Semoga masyarakat tidak berprasangka negatif. Masyarakat kita adalah cerminan kepada kita sendiri.
“Dan semoga mereka yang terperangkap dalam kemiskinan dapat melonjak keluar dari lohong kemiskinan,” katanya
Untuk anda yang mahu mengenali Hahn dengan lebih dekat, boleh ikut beliau di laman Instagram @hahnzulkifli atau subscribe laman YouTube beliau Hahn Zulkifli.
Lihat koleksi hasil kerja jurufoto tempatan yang pernah bekerja untuk media antarabangsa. Klik pautan di bawah untuk membaca.
Lihat Hasil Kerja Jurufoto Tempatan Yang Pernah Bekerja Untuk Media Antarabangsa
Jurugambar Ini Rakam ‘Kesunyian’ Bandar Pyongyang, Korea Utara
Pengalaman Mengembara Ke Galaksi Bima Sakti Di Kaki Langit Kuala Kubu Bharu