Seorang pengulas dan juga bekas penjaga gol Mesir, Essam El Hadary meramalkan pasukan Asia Tenggara termasuk Malaysia tidak layak ke pusingan kalah mati dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar.

Ramalan Essam mencetus rasa kurang senang dalam kalangan penyokong Harimau Malaya di laman X yang berpendapat pengulas tersebut tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang pasukan Asia Tenggara.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Baca Juga:

Dalam satu temubual bersama stesen TV Qatar, AlKassTVSports, beliau memilih Jepun sebagai juara Piala Asia 2023 berdasarkan kualiti barisan pemain yang dimiliki oleh skuad Samurai Biru itu.

Malaysia yang menghuni kedudukan ranking 130 dunia berada dalam kumpulan E bersama gergasi Asia, Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Bagaimanapun, Essam memilih Korea Selatan sebagai juara kumpulan E dan akan mara hingga ke final bertemu Jepun.

Beliau juga menjangkakan Jordan akan muncul naib juara kumpulan manakala Bahrain dapat slot tempat ketiga terbaik kumpulan sekaligus bertemu Arab Saudi di suku akhir.

Essam yang juga jurulatih penjaga gol Syria meramalkan pasukannya iaitu Syria akan mara hingga ke peringkat separuh akhir bersama Qatar.

Vietnam dan Indonesia juga bukan pilihan Essam untuk mara ke peringkat kalah mati daripada kumpulan D sebaliknya hanya dua pasukan sahaja iaitu Iraq dan Jepun.

Lebih mengejutkan, Essam menjangkakan pasukan gergasi seperti Australia, Iran dan Arab Saudi bakal tersingkir di peringkat suku akhir walaupun tiga pasukan itu berada di ranking FIFA lebih tinggi.

Walaupun ini hanyalah ramalan sebagai ‘perang psikologi’ bagi menghangatkan suasana Piala Asia 2023, namun rata-rata peminat bola sepak Asia tidak berpuas hati dengan pandangan beliau.

Malaysia akan memulakan kempen Piala Asia 2023 bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin, 15 Januari; Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu, 20 Januari dan Republik Korea di Stadium Al Janoub pada Khamis, 25 Januari 2024.