Flamengo membuat keputusan mengejutkan apabila menamatkan khidmat pengurus pasukan, Filipe Luis hanya beberapa jam selepas kemenangan besar 8-0 ke atas Madureira Esporte Clube.
Walaupun kemenangan tersebut memastikan Flamengo layak ke pentas final Campeonato Carioca dengan agregat 11-0, prestasi hebat tersebut masih belum mampu memadamkan tekanan terhadap pengendali berusia 40 tahun itu.
Keputusan pemecatan tersebut dipercayai berpunca daripada harapan tinggi pihak pengurusan kelab terhadap permulaan musim 2026, yang dilihat masih belum mencapai standard yang diinginkan walaupun pasukan menunjukkan dominasi dalam beberapa perlawanan terakhir.
Penamatan mengejutkan itu menutup satu fasa penting bagi Flamengo bersama Filipe Luís.
Bek kiri legenda tersebut menyertai Flamengo sebagai pemain pada 2019 sebelum mengembangkan karier ke jurulatihan melalui sistem akademi kelab pada 2024, dan kemudian dipromosikan ke skuad utama.
Namun, tekanan besar mengendalikan pasukan di Estadio do Maracana dilihat menjadi cabaran utama, memaksa pihak pengurusan bergerak pantas membuat perubahan demi hala tuju baharu pasukan.

Felipe Luis Antara Pengurus Terbaik Flamengo
Filipe Luis menamatkan tugasnya dengan rekod yang boleh dianggap cemerlang, sesuatu yang jarang dimiliki kebanyakan pengendali berpengalaman. Sepanjang kendaliannya, beliau mencatatkan 101 perlawanan dengan 64 kemenangan dan hanya 15 kekalahan.
Sepanjang musim 2024 dan 2025, beliau membantu Flamengo meraih beberapa trofi utama termasuk Copa do Brasil, Campeonato Brasileiro Serie A, serta kejayaan di Copa Libertadores.
Walaupun dihiasi koleksi kejuaraan, pemecatannya dianggap simbolik kepada tekanan budaya mahukan kemenangan segera dalam bola sepak moden, di mana walaupun jurulatih yang membawa kejayaan di peringkat benua masih tidak terlepas daripada risiko kehilangan jawatan.
Menurut sumber laporan Goal, keputusan drastik itu terpaksa diambil selepas ketegangan hubungan antara pengurusan tertinggi Flamengo dan Filipe Luís mula kelihatan sejak awal musim 2026, walaupun pasukan mencatat kemenangan besar pada hujung minggu tersebut.
Sebelum kemenangan 8-0 ke atas Madureira, Flamengo terlebih dahulu kecewa selepas tewas dalam aksi Supercopa do Brasil kepada Sport Club Corinthians Paulista, serta tumbang kepada kelab Argentina, Lanus dalam aksi Recopa Sudamericana.
Kegagalan meraih trofi pada permulaan musim dianggap mencetuskan tekanan dalaman yang sukar disembunyikan, meskipun pasukan sempat menampilkan aksi menyerang yang mengagumkan dalam perlawanan terakhir mereka.
Sehubungan dengan keputusan tersebut, Flamengo dikatakan berminat untuk membawa masuk Leonardo Jardim dari Portugal bagi mengisi kekosongan itu.