Lucas Paqueta memberikan cadangan kepada Vinicus Jr selepas melihat rakan senegaranya itu sentiasa menjadi mangsa serangan perkauman penyokong bola sepak di Eropah.

Lapan tahun bersama Real Madrid, sudah 20 kali Vinicius menjadi subjek kepada perlakuan tidak bermodal itu.

Melihatkan kepada situasi yang sering menghantui Vinicius, Paqueta mengajak rakannya itu supaya kembali ke pangkuan Flamengo, seperti dilakukannya pada jendela perpindahan Januari lalu.

Vinicius Jr
Kredit Foto: Oscar DEL POZO / AFP)

Hubungan Baik Paqueta, Vinicius Jr

Paqueta dan Vinicius mempunyai hubungan yang cukup akrab kerana sebelum ke Eropah, mereka memulakan karier bersama Flamengo.

“Kami kerap berhubung, tetapi amat menyedihkan apabila masih perlu melalui dan menyaksikan perkara-perkara yang berlaku terhadap Vini.”

“Sesiapa yang mengenalinya tahu betapa baik dan besarnya hati yang dia miliki,” ujar Paqueta menurut sumber laporan Goal.

“Orang menyalahkannya atas perkara yang tidak sepatutnya dipikul olehnya. Dia adalah mangsa dalam situasi itu.”

“Sokongan penuh daripada saya, daripada semua di Flamengo, daripada seluruh barisan staf, buat Vini.”

Asyik Jadi Mangsa Perkauman, Lucas Paqueta Ajak Vinicius Jr Sertai Flamengo
Lucas Paqueta. Kredit Foto: by JUAN MABROMATA / AFP

Pemain tengah menyerang itu turut mendedahkan bahawa beliau sentiasa berhubung dengan Vinicius Jr, sambil mengingatkannya tentang janji yang mereka buat hampir sedekad lalu ketika masih remaja yang mengimpikan kejayaan besar untuk kembali bersama Flamengo.

“Kami selalu berbual dan saya beritahunya, Saya sudah ada di sini, kini hanya awak yang tiada. Datanglah kerana kita perlu tunaikan apa yang pernah kita janjikan.”

“Saya yakin pada waktu yang tepat nanti, dia akan kembali ke Flamengo,” tambah beliau lagi.

 

Sumber