Sarina Wiegman bukanlah pengurus popular seperti Vicente Del Bosque, Joachim Low atau Fernando Santos yang pernah menghadiahkan kejuaraan buat negara bimbingan mereka.
Pengendali skuad wanita kebangsaan England itu bagaimanapun telah melakar sejarah baharu dalam kancah bola sepak antarabangsa.
Baca Juga:
- Atas Kesedaran Keselamatan FA Scotland Larang Trans Beraksi Bola Sepak Wanita

- FAM Mahu Pemain Naturalisasi Dalam Skuad Bola Sepak Wanita

- Skuad Wanita Arsenal Setuju Pecah Rekod Perpindahan Dunia Dapatkan Bintang Liverpool

Walaupun sebagai seorang wanita dan mungkin tidak mendapat liputan sehebat pengurus lelaki ternama, rekod Wiegman meletakkannya sebaris dengan nama-nama legenda dalam pengurusan bola sepak antarabangsa.
Sarina Wiegman, Pengurus Skuad Antarabangsa Paling Berjaya
Hal ini kerana beliau menjadi pengurus pertama tanpa mengira jantina lelaki atau wanita yang berjaya membawa skuad kendaliannya mara ke pentas final buat kali kelima berturut-turut.
Wiegman yang merupakan anak kelahiran Belanda membimbing negaranya mara ke pentas final dan menjuarai UEFA Women’s Euro 2017 di tanah air sendiri.
Dua tahun kemudian Belanda mara ke final Piala Dunia Wanita tetapi tewas kepada Amerika Syarikat.

Meninggalkan Belanda, Sarina Wiegman kemudiannya mengendalikan skuad kebangsaan England dan beliau berjaya menghadiahkan kejuaraan UEFA Women’s Euro 2022.
Piala Dunia Wanita 2023 pula menyaksikan England turut mara ke pentas final tetapi dikecewakan Sepanyol dengan keputusan 0-1.
Awal pagi tadi, anak-anak buah Wiegman mempamerkan semangat juang kental apabila bangkit pada masa kecederaan untuk mendapatkan jaringan penyamaan untuk membawa aksi bertemu Itali ke masa tambahan.
Gol dramatik Chloe Kelly pada minit ke-119 telah membawa England ke final bagi menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Sepanyol dan Jerman.
Satu kejayaan yang menjanjikan pentas final kelima kejohanan antarabangsa berturut-turut buat Sarina Weigman.
Konsistensi luar biasa ini bukan sekadar kejayaan seorang jurulatih. Ia adalah bukti kehebatan kepimpinan, taktikal dan visi Sarina Wiegman dalam memacu bola sepak wanita ke tahap yang lebih tinggi.