Seorang wanita terpaksa menghadapi detik cemas selepas menjadi mangsa penculikan yang diketuai oleh suaminya sendiri. Difahamkan bahawa kejadian ini berlaku disebabkan isterinya – yang juga isteri ke-3 – enggan menemaninya ke Kelantan.

Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, beliau berkata mangsa berusia 38 tahun didatangi dua lelaki tidak dikenali di sebuah pangsapuri yang terletak di Jalan Ampang.

Baca Juga:

Mereka kemudiannya memberitahu mangsa bahawa suaminya sedang menunggunya di tangga. Bagaimanapun, sesampai sahaja di tangga, lelaki itu membawa mangsa masuk ke dalam sebuah kereta dan membawanya secara paksa sehingga ke Kelantan.

Selepas tiba di Kelantan, mangsa telah dikurung di sebuah rumah tumpangan di Pasir Puteh, tetapi berjaya melarikan diri pada 13 Okt semasa suaminya sedang tidur.

“Pada 19 Okt lepas, polis menahan dua suspek di Taman Ampang, di mana suspek pertama ialah suami mangsa dan seorang pengurus tahfiz. Bagi suspek kedua, dia bekerja sebagai pembantu sekolah tahfiz.

Punca penculikan adalah kerana keengganan mangsa untuk bercuti di Kelantan bersama suaminya dan mendaftarkan status perkahwinan mereka,” kata Mohd Azam sambil menambah mangsa adalah isteri ketiga suspek.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.