Penjaga garisan cedera parah dan bertarung dengan nyawanya selepas diserang oleh penyokong. Insiden itu berlaku ketika aksi salah satu kejohanan bola sepak belia terbesar di dunia, Norway Cup.
Suspek dilaporkan berusia 20 tahun berasal dari Sepanyol telah menyerang penjaga garisan berusia 50 tahun.
Penjaga garisan tersebut dilaporkan telah dipukul di bahagian kepala ketika perlawanan yang berlangsung di padang Rustad, Oslo. Akibat insiden itu, mangsa mengalami kecederaan serius dan terpaksa dibawa ke pusat perubatan untuk rawatan lanjut.
Suspek berusia 20-an yang bukan pemain, tetapi penonton, telah ditahan polis sejurus selepas kejadian. Menurut pihak berkuasa, lelaki tersebut mengaku bersalah dan mendakwa tindakannya itu adalah untuk “melindungi abangnya” yang didakwa ditolak oleh pengadil terbabit.
Polis Oslo mengesahkan suspek telah disoal siasat dan kini direman selama empat minggu atas risiko melarikan diri. Dia disiasat atas tuduhan mencederakan pegawai perlawanan.
Pasukan dari Sepanyol, CF Sant Cebria 2019, tidak dikenakan tindakan disiplin oleh pihak penganjur Norway Cup kerana suspek bukan ahli pasukan yang berdaftar.

Keputusan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa pasukan lain yang memilih untuk memboikot perlawanan menentang pasukan tersebut sebagai tanda protes.
Pasukan seperti Fløy-Flekkerøy dan Os telah menarik diri daripada menentang CF Sant Cebria, menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan dan solidariti dengan pegawai perlawanan yang cedera.
Norway Cup dalam kenyataannya menegaskan bahawa mereka berpegang kepada “dasar sifar toleransi terhadap keganasan” dan telah menyerahkan laporan penuh kejadian kepada Persatuan Bola Sepak Norway (NFF).
Bagaimanapun, mereka tetap menggesa agar semua pasukan meneruskan perlawanan seperti biasa sambil pihak keselamatan melakukan pemantauan lebih ketat.
Norway merupakan kejohanan bola sepak belia yang menghimpunkan ribuan pemain belia dari seluruh dunia. Insiden ini mencemari semangat kesukanan dan perpaduan yang menjadi teras utama kejohanan tersebut.
Pihak berkuasa masih meneruskan siasatan, sementara keadaan pembantu pengadil terbabit dilaporkan stabil tetapi belum kembali bertugas.