Penjaga gol Nantes yang juga penjaga gol veteran Portugal, Anthony Lopes, mencuri perhatian apabila didakwa sengaja melengahkan permainan bagi memberi peluang kepada rakan sepasukan Muslimnya berbuka puasa dalam aksi Ligue 1, baru baru ini.

Dalam perlawanan antara FC Nantes dan Le Havre AC di Stade de la Beaujoire, Lopes dilihat terjatuh pada minit ke-74 sambil memegang paha kiri seolah-olah mengalami kecederaan.

Tindakan itu memaksa pegawai perubatan masuk ke padang dan permainan dihentikan seketika.

Sebenarnya Lopes telah berpura pura cedera untuk membolehkan rakan rakannya yang beragama Islam berbuka puasa di tepi padang.

Peraturan Ligue 1 yang kontroversi

Ini kerana Ligue 1 Perancis tidak seperti Liga Perdana Inggeris dan beberapa liga eropah yang lain yang membenarkan pengadil menghentikan seketika permainan untuk memberikan laluan kepada pemain beragama Islam berbuka puasa.

Ligue 1 yang dikendalikan Ligue de Football Professionnel sudah mengeluarkan larangan kepada pengadil daripada melakukan perkara tersebut atas alasan bahawa aktiviti keagamaan dan bola sepak tidak boleh dicampur aduk.

Keputusan Ligue 1 tersebut menimbulkan banyak kritikan. Memandangkan Perancis adalah negara Eropah dengan jumlah penganut agama Islam yang sangat tinggi berbanding negara eropah lain.

Selain itu, Ligue 1 dalah liga yang memiliki jumlah pemain beragama Islam yang ramai.

Lopes ada cara untuk memastikan rakan rakannya dapat berbuka puasa, walaupun dia beragama Kristian.

Ketika tempoh singkat itu, beberapa pemain Muslim Nantes segera menuju ke tepi padang untuk minum air dan menjamah kurma, bertepatan dengan waktu matahari terbenam.

Penjaga gol Nantes bersolidariti untuk rakannya

Justeru, ‘lakonan’ Lopes itu membuka ruang tidak rasmi buat rakan-rakannya menamatkan puasa.

Menariknya, selepas beberapa minit, Lopes bangkit dan kembali meneruskan permainan tanpa menunjukkan sebarang tanda kecederaan serius. Jelas ianya satu bentuk solidariti yang mendapat pujian dalam kem Nantes.

Peminat turut memuji pengadil perlawanan yang dilihat agak ‘sporting’ dan tidak banyak soal tentang kecederaan Lopes.

Berbeza dengan England

Situasi ini berbeza dengan pendekatan di Premier League, yang sejak 2021 membenarkan hentian singkat ketika waktu berbuka. Pengadil biasanya memberi ruang ketika sepakan gol, lontaran ke dalam atau hentian semula jadi lain bagi membolehkan pemain Muslim minum dan makan secara ringkas.

Langkah itu dilihat sebagai usaha menyokong kepelbagaian dan kebajikan pemain sepanjang Ramadan.

Tiga mata cukup bermakna

Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan 2-0 buat Nantes, keputusan penting yang melonjakkan mereka ke tangga ke-17 dengan 17 mata. Sementara itu, Le Havre kekal di kedudukan ke-13 dengan 26 mata.

Insiden ini sekali lagi membuka perdebatan mengenai fleksibiliti liga utama Eropah terhadap keperluan pemain Muslim sepanjang Ramadan — antara peraturan dan nilai kemanusiaan.

Apa pun, Lopes mungkin tidak menjaringkan gol, tetapi tindakannya malam itu jelas ‘menyelamatkan’ sesuatu yang lebih besar daripada sekadar keputusan perlawanan.