Pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah mengeluarkan kenyataan berhubung kemas kini terkini status penjualan tiket bagi kejohanan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026.

Menerusi kenyataan rasmi, sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai dan peminat sukan permotoran telah menyebabkan aliran trafik capaian yang sangat tinggi pada laman web rasmi penjualan tiket, bahraingp.com.

“Berikutan permintaan luar biasa ini, tiket-tiket yang ditawarkan kini terjual dengan begitu pantas.

“Pihak kami memahami keterujaan para peminat untuk mendapatkan tiket masing-masing dan amat menghargai kesabaran serta keprihatinan anda sepanjang proses penjualan ini berlangsung,” katanya.

Tiket Khas Pemegang MyKad

Menurut SIC, penawaran tiket pada harga istimewa ‘MyKad Tickets’ masih tersedia dalam jumlah yang terhad.

Tiket khas ini eksklusif untuk warganegara Malaysia yang memegang MyKad yang sah dan boleh dibeli menerusi laman web bahraingp.com sebaik sahaja sistem laman web tersebut kembali beroperasi secara optimum.

“Maklumat dan kemas kini lanjut akan disalurkan dari semasa ke semasa menerusi saluran media sosial rasmi Bahrain International Circuit (BIC) dan Sepang International Circuit (SIC).

“Pihak pengurusan sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan berterusan, keprihatinan, dan kesabaran anda. Kami tidak sabar untuk menyambut kehadiran anda di Litar Sepang bagi menggegar minggu hujung minggu F1 yang penuh mendebarkan,” jelas SIC.