Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyatakan bahawa syarikat penerbangan tidak lama lagi akan diwajibkan untuk mengembalikan sepenuhnya wang penumpang bagi penerbangan yang tertangguh selama lima jam atau lebih.
Memetik The Star, Anthony Loke berkata langkah itu akan berkuat kuasa mulai 2 September, mengikuti pindaan kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016 oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).
Baca Juga:
- Pekerja ‘Resign’ Antara Punca Penerbangan Malaysia Airlines Tergendala
- Digelar ‘Bodoh’ Ketika Minta Bantuan, Vlogger China Bidas Kakitangan Syarikat Penerbangan Tempatan
- Malaysia Airlines Dan AirAsia Umum Batal Penerbangan Ke Sabah, Sarawak
Beliau menerangkan bahawa solusi itu hanya kepada penumpang yang memilih untuk tidak meneruskan penerbangan yang tertangguh dan memilih untuk membeli penerbangan lain secara keseluruhan.
“Ini adalah satu penambahbaikan untuk pengguna. Sebelum ini, tiada peruntukan sedemikian di mana syarikat penerbangan hanya perlu menyediakan makanan dan sebagainya.
“Sekarang, jika penumpang mempunyai penerbangan alternatif, mereka boleh mendapatkan pengembalian wang jika penerbangan awal mereka tertangguh selama lima jam atau lebih,” katanya dalam satu sidang media semalam.
Beliau berkata bahawa pengembalian wang juga perlu ditawarkan melalui kaedah pembayaran asal penumpang.
Pindaan lain kepada MACPC juga akan meliputi pengembalian wang untuk penerbangan yang terganggu akibat keadaan luar biasa seperti corak cuaca yang berubah.
“Syarikat penerbangan juga boleh menawarkan pengembalian wang dalam bentuk alternatif seperti baucar perjalanan atau kredit.
“Namun, pengguna mempunyai pilihan untuk menentukan kaedah pengembalian wang yang mereka inginkan,” kata Loke.
Mengenai perubahan terhadap jadual waktu berlepas penerbangan, Anthony Loke berkata pengguna perlu diberitahu sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh perubahan, melainkan jika perubahan tersebut melibatkan keadaan luar biasa atau masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan — peraturan ini akan berkuat kuasa mulai Januari tahun depan.
“Semua penerbangan yang dibatalkan juga mesti dikeluarkan dari semua platform tempahan, termasuk ejen perjalanan dalam talian dan luar talian.
“Ini bertujuan untuk melindungi pengguna daripada membeli tiket untuk penerbangan yang tidak tersedia,” katanya.
Pada masa sama penumpang yang dinafikan tempat duduk kerana penerbangan terlebih tempah juga perlu dimaklumkan kepada mereka sama ada di kaunter daftar masuk atau pintu pelepasan.
“Ini bertujuan untuk mengelakkan situasi di mana penerbangan terlebih tempah, dengan penumpang sudah berada di dalam pesawat dan kemudiannya diberitahu untuk turun,” katanya.
Beliau menambah bahawa tempoh aduan juga telah dilanjutkan dari satu tahun kepada dua tahun.
“Melalui MACPC yang dipertingkatkan, pengguna akan dijamin perlindungan yang lebih baik semasa penerbangan.
“Mavcom akan memantau syarikat penerbangan untuk memastikan mereka mematuhi piawaian industri,” jelasnya lagi.