Puluhan individu dilaporkan kini berada dalam kuarantin selepas seorang pekerja makmal di sebuah institut penyelidikan penyakit berjangkit dan wabak di Rusia meninggal dunia akibat penyakit yang belum dikenal pasti, petik CNN.
Mangsa, seorang juruteknik makmal wanita berusia 28 tahun di Institut Penyelidikan Anti-Plague Irkutsk Siberia yang terletak di bandar Shelekhov, disahkan meninggal dunia selepas mengalami radang paru-paru (pneumonia) yang ‘tidak diketahui’ puncanya.
Menurut agensi kawalan penyakit berjangkit Rusia, Rospotrebnadzor, mangsa dikenal pasti oleh media tempatan sebagai Darya Shipilova.
Pihak Rospotrebnadzor bagaimanapun menafikan sebarang kaitan langsung antara kematian Shipilova dengan tugas rasminya di institut berkenaan.
“Tiada mikroorganisma yang berkaitan dengan tugas profesional pekerja berkenaan dikesan dalam sampel yang diambil daripada pesakit,” jelas pihak agensi dalam satu kenyataan rasmi sambil menegaskan bahawa ‘situasi epidemiologi’ di wilayah tersebut kekal stabil.
Meskipun laporan rasmi menyatakan keadaan terkawal, Ketua Rospotrebnadzor, Anna Popova, telah berlepas ke Irkutsk bagi menghadiri mesyuarat tergempar suruhanjaya anti-wabak peringkat wilayah. Menurut Gabenor Wilayah Irkutsk, Igor Kobzev, mesyuarat khas itu diadakan berikutan kemunculan kes baharu yang mencetuskan kebimbangan.
“Mesyuarat ini diadakan berikutan ‘suspek kes jangkitan amat berbahaya yang menimpa seorang penduduk di wilayah ini’,” kata Kobzev menerusi kenyataan di saluran Telegram beliau.
Apabila dihubungi menerusi telefon, pihak institut berkenaan enggan mengulas lanjut berhubung insiden tersebut.
Langkah Kawalan Ketat
Datuk Bandar Daerah Shelekhovsky, Maxim Modin, mengesahkan pihak berkuasa tempatan sedang melaksanakan set langkah anti-epidemik secara menyeluruh di kawasan terjejas yang terletak berhampiran sempadan Mongolia.
Kemudahan wad pesakit dalam di hospital tempat mangsa dirawat kini diletakkan di bawah perintah kuarantin, manakala beberapa jabatan telah menghentikan pengambilan serta pelepasan pesakit. Selain itu, pihak berkuasa turut membatalkan aktiviti gotong-royong tahunan bandar yang dijadualkan pada hujung minggu ini.
Penduduk tempatan mengakui wujud suasana cemas dalam kalangan masyarakat walaupun kehidupan seharian kelihatan normal di permukaan.
Reaksi Antarabangsa dan Penilaian Risiko WHO
Memetik CNN, erkembangan ini turut mendapat perhatian antarabangsa. Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, menyatakan pentadbiran AS sedang memantau rapat situasi berkenaan.
“Saya tidak fikir ini sebab untuk panik, tetapi ia adalah sebab untuk kita memberi fokus dan terus memantaunya,” kata Rubio.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menzahirkan kesediaan untuk menghulurkan bantuan jika diperlukan sebelum berlepas dari Rumah Putih ke Nebraska.
“Sesiapa sahaja yang menghadapi masalah seumpama ini, kami sentiasa bersedia untuk membantu. Saya sedih melihat mereka mengalaminya. Ini adalah penyakit yang amat berat,” kata Trump.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengesahkan pihaknya sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa kesihatan Rusia untuk mengesahkan ujian makmal serta keputusan rasmi. Menurut WHO, berdasarkan maklumat tidak rasmi yang diperoleh, risiko kesihatan awam terhadap populasi umum masih berada pada tahap rendah.
Meskipun risiko dikatakan rendah, beberapa negara jiran seperti Kazakhstan, Uzbekistan, dan Kyrgyzstan telah meningkatkan kawalan sanitari serta pengawasan ketat di pintu masuk sempadan negara masing-masing.
SOP Pencegahan Keselamatan
Pakar virologi dari Siberia, Alexander Chepurnov, menjelaskan bahawa protokol ketat yang dilaksanakan adalah tindakan standard untuk memastikan tiada penularan seterusnya berlaku.
“Selepas sebarang pendedahan yang disyaki, kakitangan diarahkan untuk membuat laporan dengan kadar segera, menjalankan proses nyahcemar, menjalani penilaian perubatan, dan diasingkan di kemudahan khas,” jelas Chepurnov.
Pakar virologi dari Vaccine and Infectious Disease Organization, Angela Rasmussen, turut menambah bahawa walaupun wabak paru-paru (pneumonic plague) membahayakan, ia tidak mudah berjangkit seperti virus saluran pernafasan COVID-19 melainkan seseorang terdedah kepada beban bakteria yang amat tinggi.
Penyakit wabak juga disahkan mempunyai kadar kematian yang tinggi sekiranya dibiarkan, namun ia boleh diubati dengan berkesan menggunakan antibiotik jika dikesan pada peringkat awal.