Penyerang yang beraksi dalam saingan Liga Thailand, Nelson Bonilla dilaporkan semakin hampir untuk menyertai salah satu kelan yang beraksi dalam saingan Liga Super 2024/2025.
Menurut perkongsian wartawan sukan negara itu, Bonilla bakal menyertai Terengganu bagi mengisi salah satu kuota pemain import kelab dari Pantai Timur itu musim ini.

Baca Juga:
- Ubi Terengganu Tersenarai Dalam ‘Top 5’ Pemain Muda Piala Shopee
- ‘Mengancam Boh!’ – Jersi Terengganu FC Jadi Pilihan Mat Saleh Di Luar Negara
- Tawar Pelbagai Perkhidmatan & Permainan Interaktif, Booth KWSP Di KJH Terengganu Diserbu Pengunjung!

Bonilla merupakan pemain kelahiran El Salvador berusia 33 tahun dan pernah beraksi bersama beberapa kelab di Thailand seperti Sukhothai, Bangkok United dan Port FC.
Memulakan karier di Thailand bersama Sukhothai, Bonilla tampil cemerlang dimana beliau menjaringkan 25 gol dalam 33 penampilan pada musim pertamanya. Musim berikutnya beliau menyertai Bangkok United dan menjaringkan 16 gol dalam semua pertandingan.
Bonilla gagal untuk meneruskan prestasi cemerlang dimana beliau hanya mampu menjaringkan enam gol ketika beraksi bersama Port dan empat gol ketika menyarung jersi Chiangrai United.
Di peringkat antarabangsa, Bonilla masih aktif beraksi bersama skuad kebangsaan El Salvador dimana baru-baru ini beliau menjaringkan satu gol dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 ketika El Salvador menewaskan Saint Vincent and the Grenadines dengan keputusan 3-1.
Sekiranya Bonilla menyertai Terengganu, maka beliau akan menggantikan tempat Ivan Mamut yang bakal dilepaskan selepas tidak beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Pengendali pasukan, Tomislav Steinbrückner banyak menggunakan khidmat seorang lagi penyerang import iaitu Ismahil Akinade di bahagian serangan musim ini.