Perak Bison terus mencuri tumpuan untuk mengharungi baki tiga lagi saingan Grand Prix (GP) STL 2026 selepas mengumumkan kehadiran tekong utama Thailand, Kritsanapong Nontakote.
Perkembangan terkini mengenai kedatangan pemain berusia 34 tahun itu disahkan menerusi pengumuman rasmi di laman sosial Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebentar tadi.
Perak Bison Tambah Kekuatan
Kehadiran Kritsanapong dilihat sebagai satu lagi langkah penting diambil Perak Bison dalam memperkukuhkan jentera pasukan bagi menghadapi cabaran sengit pada penghujung saingan STL musim ini.
Kritsanapong bukanlah nama asing dalam arena sepak takraw antarabangsa apabila beliau memiliki pengalaman luas mewakili Thailand di pentas tertinggi.
Sebelum ini, Perak Bison turut mendapatkan khidmat Pornthep Tinbangbon yang memainkan peranan penting membantu pasukan itu mencipta kejayaan dalam GP Pulau Pinang dan GP Kuala Lumpur.
Ini bermakna skuad kendalian Mohd Tajuddin Ahmad itu memiliki dua tekong terbaik Thailand dalam usaha memburu kejuaraan STL 2026.
Selain itu, pendahulu keseluruhan tersebut turut memperkuatkan posisi apit kanan selepas membawa masuk pemain Terengganu Turtles, Azim Azizul untuk memberikan persaingan sihat bersama Nazrein Daniel Kamal Mustafa dan Madzrul Aziq Mat Tahir.
Selepas mengharungi empat GP sebelum ini, Perak Bison berada di tangga teratas kedudukan keseluruhan dengan 107 mata, berkelebihan lapan mata meninggalkan pencabar terdekat, PDRM Defenders.
GP Negeri Sembilan bakal menjadi saingan kelima yang diadakan bermula 9 hingga 12 Disember bertempat di Seremban Arena.
Berikut merupakan senarai pemain baharu bagi semua pasukan dalam saingan STL 2026:
