Perak berkemungkinan besar akan menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bagi menghadapi peringkat awal saingan Liga Super 2024/25 nanti.

Ia berikutan Stadium Perak di Ipoh bakal melalui fasa naik taraf sistem saliran dan penanaman rumput baharu seperti digembar-gemburkan sebelum ini.

Baca Juga:

Hal ini kerana kerajaan negeri bersetuju menerima tawaran geran bernilai RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi tujuan yang dinyatakan.

Menurut sumber Berita RTM, perkara tersebut juga telah dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada bulan lalu yang disahkan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Encik Khairudin Abu Hanipah.

“Perkara ini masih dalam perbincangan lagi dan insya-Allah Isnin ini, saya bersama pihak KBS akan bermesyuarat.”

“Salah satu agendanya adalah berkaitan dengan status penaiktarafan stadium ini termasuk daripada segi rumput, keperluan lain serta kita mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak antaranya Perak FC dalam merealisasikan kesempurnaan untuk Stadium Perak ini,” ujar Khairudin lagi.

Dengan proses naik taraf yang sudah pastinya memakan masa, Stadium MPM dilihat bakal menjadi pilihan utama sebagai gelanggang tuan rumah buat skuad Yob itu.

Malah, stadium tersebut sebelum ini pernah menjadi gelanggang utama buat pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dalam saingan Liga Super.

Pihak Malaysia Football League (MFL) juga sebelum ini sudah membuat sesi pemeriksaan venue Liga Malaysia (Liga-M) 2024/2025 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Menurut sumber Perak FC, sesi tersebut juga turut merangkumi pemeriksaan dari Unit Komersil, Unit Penyiaran serta rakan produksi bersama pasukan VAR (Video Assistant Referee).

Sumber